Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Doa Buat Masjid Al-Aqsa & Malaysia, JAKIM Anjur Solat Hajat Jumaat Ini

JAKIM Anjur Solat Hajat
Kredit: Bernama

Tiga masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat minggu ini bagi memohon perlindungan Allah SWT untuk Masjid Al-Aqsa di Palestin serta keselamatan Malaysia daripada musibah jerebu.

Ketiga-tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

JAKIM anjur Solat Hajat

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pelaksanaan solat hajat itu adalah sebagai menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sehubungan dengan itu, tiga masjid utama di bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat pada minggu ini.

“Di samping bacaan doa khusus bagi memohon agar Masjid Al-Aqsa terus dilindungi daripada pencerobohan dan kezaliman, serta Malaysia dipelihara daripada bencana jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menerusi kenyataan media itu, JAKIM turut berkata umat Islam diseru agar bersama-sama mengimarahkan masjid, memperkukuh kesatuan ummah dan memperbanyakkan doa agar Allah SWT mengurniakan perlindungan, keselamatan dan rahmat kepada saudara-saudara di Palestin serta seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga usaha ini menjadi wadah menyatukan hati umat Islam dalam menghayati tanggungjawab bersama, memperteguh solidariti terhadap Palestin dan memohon kesejahteraan buat negara yang kita cintai,” tambahnya.

Intipati
  • JAKIM akan mengadakan solat hajat di tiga masjid utama selepas solat Jumaat minggu ini.
  • Doa khusus akan dibacakan untuk perlindungan Masjid Al-Aqsa dan keselamatan Malaysia daripada jerebu.
  • Umat Islam diseru mengimarahkan masjid, memperkukuh kesatuan ummah dan mendoakan kesejahteraan negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan