Bagi sesetengah peminat bola sepak, kemenangan pasukan kegemaran bukan sekadar satu keputusan perlawanan, sebaliknya boleh menjadi kenangan yang cukup bermakna.
Mana tidaknya, penantian penuh debaran sejak wisel permulaan ditiupkan akhirnya terbayar dengan rasa puas yang sukar digambarkan.
Begitulah ceritanya dengan seorang wanita ini apabila kejayaan pasukan Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bukan sahaja membuat hatinya berasa puas, malah turut memberi inspirasi kepada pemilihan nama anak yang baru dilahirkannya.
Menerusi perkongsian di Threads oleh seorang pengguna @feanutty, wanita itu pada awalnya mendedahkan bahawa dia sedang hamil dan berharap pasukan kegemarannya, Arsenal, berjaya meraih kemenangan.
Dalam hantaran pertama bertarikh 6 Mei lalu, dia menulis, “Tahun ni i mengandung tau… I doakan Arsenal menang. Tolong laaa untukkk kalini je.”
Hantaran berkenaan jelas menunjukkan betapa besarnya harapan wanita itu agar Arsenal memperoleh kemenangan, malah dia turut berseloroh seolah-olah kemenangan tersebut menjadi sebahagian daripada doanya sepanjang kehamilan.
Untuk rekod, Arsenal kemudian mengesahkan kejuaraan EPL pada 19 Mei selepas pencabar terdekat, Manchester City hanya sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang AFC Bournemouth pada Minggu Perlawanan ke-37 (Matchweek 37).
Keputusan itu menyaksikan City hanya mengumpul 78 mata selepas perlawanan berkenaan tamat, sekaligus tidak lagi mampu memintas Arsenal yang sudah mengumpul 82 mata dengan masing-masing cuma berbaki satu perlawanan lagi untuk dimainkan.
Doa Termakbul, Nama Anak Pula Ada Unsur Arsenal

Tidak lama kemudian, wanita itu kembali membuat kemas kini selepas Arsenal mengesahkan kejuaraan EPL.
Menerusi hantaran kedua pada 20 Mei, dia berkongsi berita gembira itu sambil memberitahu bahawa nama anaknya kelak akan disertakan dengan unsur 'bunyi-bunyi' pasukan kegemarannya.
“Update: Doa termakbul. Anak lahir nanti memang letak nama ada bunyi bunyi Arsenal” tulisnya.
Lebih mencuit hati, wanita itu akhirnya menunaikan apa yang pernah dijanjikannya apabila berkongsi bahawa anaknya sudah selamat dinamakan dengan nama yang mempunyai kaitan dengan pasukan kegemarannya itu.
Dalam hantaran ketiga, dia mengumumkan yang dia sudah menamakan anaknya yang mempunyai unsur pasukan bola kegemarannya itu.
“Update: Done namakan anak sempena doa termakbul Arsenal menang haritu. Dia pun approved nama dia 'Arsel'”, katanya dalam hantaran itu.
Diinspirasikan daripada nama Arsenal, pemilihan nama Arsel menjadikan kemenangan pasukan itu cukup bermakna bukan sekadar detik manis buat para penyokong, tetapi juga kenangan terindah buat keluarga kecil itu.
Perkongsian itu pastinya mencuit hati peminat bola sepak, khususnya penyokong Arsenal yang mungkin tidak menyangka kemenangan pasukan kesayangan boleh menjadi inspirasi kepada pemilihan nama seorang bayi.
“Fuh. Doa ibu mengandung,” seloroh seorang pengguna lain.
Nampaknya, sokongan terhadap pasukan kegemaran bukan sekadar berhenti di depan televisyen atau stadium, malah boleh dibawa sehingga ke generasi seterusnya.

