Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan seorang lelaki yang disyaki cuba mencuri di sebuah rumah kosong di Lampung, Indonesia berakhir hampa apabila dia tertidur nyenyak di salah sebuah bilik.
Memetik Kompas.com, suspek berusia 21 tahun itu disyaki memasuki rumah terbabit dengan memecahkan tingkap pengudaraan dalam bilik mandi.
Dia juga menggeledah beberapa bilik untuk mencari barang berharga.
Pun begitu, suspek didakwa terlalu letih sehingga dia tertidur di atas katil sebelum perbuatannya disedari oleh pemilik rumah.
Menurut laporan, pemilik rumah, Muhammad Aulia Shandi, kemudian mengunci pintu bilik tidur dari luar dan meminta bantuan daripada penduduk supaya suspek tidak dapat melarikan diri apabila terjaga.
Menurut Aulia, dia kerap melawat rumah itu untuk membersihkannya dan memeriksa keadaan walaupun ia tidak berpenghuni.
Aulia tiba di rumah itu sekitar jam 8.30 pagi dan mendapati beberapa bilik dalam keadaan bersepah.

Keadaan ini membuatkannya mengesyaki seseorang telah masuk dan cuba mengambil barang dalam rumah.
Dia kemudian memeriksa setiap bilik sehingga menemui seorang lelaki yang tidak dikenali sedang tidur nyenyak di atas katil di salah sebuah bilik.
Apabila suspek terjaga, dia tidak dapat keluar dari bilik dan tidak berpeluang melarikan diri kerana telah dikepung penduduk.
Kemudian, lelaki itu diserahkan kepada pegawai polis Gadingrejo.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai memasuki rumah dengan memecahkan tingkap pengudaraan bilik mandi selepas gagal membuka pintu belakang menggunakan pengumpil," kata pegawai polis, Iptu Sugiyanto.
Polis telah merapas pengumpil yang didakwa digunakan oleh suspek sebagai bukti.
Siasatan lanjut mendapati suspek telah berkumpul bersama beberapa orang rakannya pada petang Isnin.
Suspek mengakui telah meneguk minuman tuak beralkohol bersama rakan-rakannya.
Disebabkan itu dia keletihan apabila masuk ke dalam rumah kosong tersebut.
Suspek berdepan hukuman penjara tujuh tahun jika disabitkan kesalahan di bawah Pasal 477 KUHP.
Proses undang-undang tetap diteruskan meskipun dia belum sempat mencuri barang milik mangsa.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan