Kira-kira 100 kanak-kanak di Cirebon, Jawa Barat, Indonesia, disyaki mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan sup telur puyuh pada Selasa (20 Oktober).
Mangsa terdiri daripada murid sekolah rendah, kanak-kanak tadika serta kanak-kanak yang menerima perkhidmatan kesihatan di pusat kesihatan komuniti sekitar daerah Harjamukti.
Mereka dilaporkan mengalami gejala seperti loya, muntah, pening, sakit perut dan cirit-birit selepas menikmati hidangan program makanan percuma berkhasiat, Makanan Bergizi Percuma (MBG).
Seorang ibu bapa, Doni Armandi, berkata dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila anaknya pulang dalam keadaan pucat pada petang kejadian.
“Apabila ditanya, anak saya mengaku makan sup telur puyuh daripada dapur penyediaan makanan program MBG di Kalijaga Lima. Katanya, sup itu sudah masam dan tidak sedap dimakan,” katanya.
Datuk Bandar Cirebon, Effendi Edo, mengesahkan kira-kira 100 kanak-kanak daripada beberapa sekolah dan pusat kesihatan komuniti terjejas dalam kejadian berkenaan.

Antara lokasi terlibat ialah Sekolah Rendah Taman Kalijaga, Tadika Teratai dan pusat kesihatan komuniti berhampiran, dengan mangsa dibawa ke beberapa hospital untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, sampel sup telur puyuh yang disyaki menjadi punca keracunan telah diambil oleh pihak berkuasa untuk menjalani ujian makmal bagi mengenal pasti kandungannya.
Operasi dapur penyediaan makanan program MBG di Kalijaga Lima turut dihentikan sementara oleh Agensi Pemakanan Kebangsaan Indonesia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Disyaki Berpunca Daripada Telur Puyuh, 100 Kanak-Kanak Dipercayai Keracunan MBG Di Cirebon

Pihak berkuasa tempatan juga memberi jaminan bahawa kos rawatan semua mangsa akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Setakat Selasa malam, beberapa kanak-kanak yang mengalami gejala ringan dibenarkan pulang, manakala mangsa lain masih menerima rawatan di hospital.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum disahkan kerana sampel sup telur puyuh berkenaan sedang menjalani ujian makmal.

