Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Disiplin Menyimpan Selama 18 Tahun, Pesara Menang RM1 Juta

Pesara menang RM1 Juta
Kredit: Bank Simpanan Nasional (BSN)

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Seorang pesara dari Pulau Pinang memenangi hadiah RM1 juta Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), sekali gus dinobatkan sebagai Jutawan BSN SSP ke-129.

Iklan

Md Idris Ibrahim, 71, yang sebelum ini berkhidmat sebagai posmen di Pos Malaysia Berhad menyimpan secara konsisten menerusi BSN SSP sejak 2008, selain pernah membawa pulang hadiah RM50,000 pada 2019.

“Sebagai pesara, hadiah RM1 juta ini akan memberi lebih ruang untuk merancang masa depan serta menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama dengan keluarga,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BSN hari ini.

Selain Md Idris, antara pemenang BSN SSP bagi Oktober dari Pulau Pinang ialah seorang sami pelatih berusia 17 tahun, Cheah Zhi Jing yang mula menyimpan di BSN SSP tujuh bulan lepas, dengan memenangi sebuah motosikal BMW Motorrad C400 menerusi kategori Cabutan Penyimpan Baharu.

BSN memaklumkan seorang individu autisme berfungsi tinggi Irfan Qusyairi Feizal, 24, turut berjaya membawa pulang sebuah Perodua Myvi menerusi kategori Cabutan Negeri hasil usaha ibu bapanya yang menyimpan demi masa depan anak-anak mereka.

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN Mujibburrahman Abd Rashid berkata kemenangan mereka mencerminkan kepentingan memupuk amalan menabung dalam setiap peringkat kehidupan.

“Menerusi BSN SSP, kami ingin menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menabung, kekal konsisten dan berusaha mencapai matlamat kewangan masing-masing.

“Komitmen kami bukan sekadar menawarkan hadiah menarik, tetapi juga menjadikan amalan menabung lebih bermakna dan bermanfaat, di samping membantu rakyat Malaysia membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Bagi 2026, BSN SSP meneruskan kempen bertemakan “BSN SSP Jom Jadi Jutawan” yang menawarkan pelbagai kategori cabutan hadiah merangkumi wang tunai, kenderaan dan peranti elektronik.

Cabutan Jutawan menawarkan hadiah RM1 juta kepada seorang pemenang setiap bulan dari Januari hingga November, manakala Cabutan Bonanza Disember bakal menawarkan hadiah simpanan BSN SSP bernilai RM1 juta berserta sebuah Porsche Macan X kepada seorang pemenang.

Intipati
  • Md Idris Ibrahim memenangi RM1 juta BSN SSP selepas menyimpan sejak 2008.
  • Beliau menjadi Jutawan BSN SSP ke-129 dan pernah menang RM50,000 pada 2019.
  • BSN SSP 2026 akan menawarkan cabutan wang tunai, kenderaan dan peranti elektronik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan