Digelar ‘America’s Stonehenge’, Monumen Misteri Terkenal Di AS Diletupkan Individu Tak Dikenali
Sebuah monumen misteri terkenal di Georgia yang turut digelar sebagai ‘America’s Stonehenge’ dilaporkan telah diletupkan pada awal pagi Rabu.
Memetik laporan CNN, pihak berkuasa kini sedang mengesan dalang disebalik letupan tersebut.
Biro Siasatan Georgia (GBI) berkata monumen yang terletak berhampiran Elberton itu telah rosak akibat letupan tersebut.

Susulan itu juga, struktur tersebut telah dirobohkan sepenuhnya atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Daerah Elbert pula berkata letupan itu dipercayai telah dirakam oleh CCTV sekitar jam 4 pagi.
Menerusi video itu, sebuah kereta sedan berwarna perak dilihat memecut laju meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas letupan itu berlaku.
Setakat ini, motif kejadian tersebut tidak dapat dipastikan dan pihak berkuasa mengatakan bahawa individu tidak dikenali telah meletupkan monumen itu.

Monumen yang digelar ‘America’s Stonehenge’ itu mempunyai ketinggian 19 kaki dan mengandungi 10 bahagian mesej dalam 12 bahasa.
Naib presiden eksekutif Persatuan Granit Elberton berkata monumen itu telah berjaya menarik lebih daripada 20,000 pelawat setiap tahun, lapor NBC News.
Pun begitu, monumen itu juga dipercayai telah dicemuh dan dikritik sebagai ‘syaitan’ oleh sesetengah pihak.
Sejak didirikan pada tahun 1980, individu atau pihak yang bertanggungjawab di sebalik ‘penubuhan’ monumen itu masih lagi menjadi misteri.
