Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Destinasi Winter Asia Paling Menakjubkan Tanpa Perlu Ke Eropah
Musim sejuk sering dikaitkan dengan destinasi Eropah yang bersalji tebal, bandar-bandar klasik yang romantik serta landskap putih yang seolah-olah keluar dari filem. Namun ramai tidak sedar bahawa Asia sebenarnya menyimpan pelbagai destinasi winter yang tidak kurang hebatnya malah ada yang jauh lebih unik dari segi budaya, pengalaman dan pemandangan semula jadi.
Lebih menarik, setiap destinasi winter di Asia ini menawarkan keindahan tersendiri yang mampu memberikan pengalaman seperti berada di dunia lain. Di samping itu, anda juga tidak perlu mengeluarkan kos perjalanan yang terlalu tinggi atau menempuh penerbangan jarak jauh.
Dari festival ais yang megah hingga ke pergunungan bersalji yang menenangkan, semuanya boleh dinikmati dalam satu benua yang penuh kejutan ini. Kali ini kami akan kongsikan beberapa destinasi winter di Asia paling menakjubkan yang boleh anda lawati tanpa perlu terbang jauh ke Eropah.
Menariknya, setiap lokasi ini menawarkan suasana musim sejuk yang memukau serta dipenuhi dengan pemandangan yang menenangkan. Pada masa yang sama, ia turut mempunyai tempat popular untuk bermain salji, pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman tempatan yang menjadikan perjalanan anda lebih bermakna.
Harbin sering dianggap sebagai ibu kota musim sejuk Asia kerana keunikan bandar ini yang berubah sepenuhnya menjadi dunia ais apabila suhu menjunam. Bangunan, taman dan jalanan akan dipenuhi salji tebal. Keadaan ini menjadikan seluruh bandar seperti set filem fantasi yang beku.
Kemuncak utama sudah tentu Harbin International Ice and Snow Sculpture Festival yang menampilkan arca ais berskala besar serta istana kristal yang bercahaya LED. Festival ini turut mempersembahkan pelbagai struktur seni unik yang dihasilkan daripada blok ais yang diambil dari Sungai Songhua.
Pada waktu malam, seluruh kawasan ini bertukar menjadi panorama berwarna-warni yang sangat memukau. Untuk aktiviti bermain salji, pelancong biasanya akan ke Sun Island Scenic Area, Harbin Ice and Snow World serta Stalin Park.
Di sini, anda boleh mencuba luncur ais, menaiki gelongsor salji gergasi dan menikmati pengalaman bermain salji yang sangat menyeronokkan sambil merasai suhu yang boleh jatuh sehingga bawah sifar.
Wilayah Jammu and Kashmir merupakan antara destinasi paling indah di dunia ketika musim sejuk. Apabila salji mula turun, seluruh kawasan berubah menjadi hamparan putih yang luas dengan latar belakang pergunungan Himalaya yang dramatik dan menenangkan.
Antara lokasi paling terkenal ialah Gulmarg yang menjadi pusat ski antarabangsa dengan laluan gondola tertinggi di dunia. Aktiviti seperti ski, snowboarding, snow tubing dan trekking di kawasan bersalji menjadikan Gulmarg sangat popular dalam kalangan pencinta winter sports.
Sementara itu, Srinagar pula menawarkan pengalaman musim sejuk yang lebih tenang dan romantik. Tasik Dal Lake yang separa beku, rumah bot tradisional serta pemandangan salji di sekeliling bandar menjadikan kawasan ini lokasi ideal untuk fotografi dan percutian santai.
Manakala Sa Pa pula ialah destinasi pergunungan di utara Vietnam yang terkenal dengan landskap sawah bertingkat dan kabus tebal. Walaupun tidak menerima salji setiap tahun, kawasan ini kadangkala mengalami suhu ekstrem yang cukup rendah sehingga menghasilkan salji nipis di beberapa lokasi tinggi.
Salah satu tempat paling popular untuk pengalaman winter ialah Gunung Fansipan yang dikenali sebagai “Roof of Indochina”. Di puncak ini, pelancong berpeluang melihat kabus tebal, ais ringan dan suasana sejuk yang jarang ditemui di Asia Tenggara.
Selain itu, Mẫu Sơn juga menjadi lokasi yang sering berubah wajah ketika musim sejuk melampau. Kawasan ini diselaputi ais dan kabus tebal yang mencipta suasana seperti negara empat musim.
Antara lain, Jeoun juga merupakan antara destinasi musim sejuk paling lengkap di dunia. Negara ini menawarkan gabungan budaya, teknologi dan alam semula jadi bersalji yang sangat cantik. Setiap wilayah mempunyai tarikan winter yang berbeza, menjadikan Jepun pilihan utama pelancong antarabangsa.
Di Hokkaido, anda boleh menikmati salji tebal di kawasan seperti Niseko, Furano dan Sapporo yang terkenal dengan festival salji dan ski resort bertaraf dunia. Kawasan ini sangat sesuai untuk aktiviti seperti skiing, snowboarding, snow trekking dan juga bermain salji secara santai.
Sementara itu, Niigata pula terkenal dengan resort ski seperti Gala Yuzawa yang boleh diakses terus dari Tokyo. Lokasi ini menjadikannya sangat popular untuk perjalanan sehari bagi pencinta salji dan sukan musim sejuk.
Tidak ketinggalan Kyoto yang menawarkan pengalaman winter lebih klasik dengan kuil-kuil lama, taman tradisional dan suasana salji yang sangat fotogenik.
Chengdu menawarkan pengalaman musim sejuk yang lebih santai dan sesuai untuk pelancong yang tidak mahu cuaca terlalu ekstrem. Walaupun tidak bersalji tebal seperti kawasan utara China, suhu sejuk di bandar ini tetap cukup untuk memberikan suasana winter yang nyaman.
Antara tarikan utama ialah kawasan Xiling Snow Mountain yang terletak berhampiran Chengdu. Di sini, pelancong boleh menikmati aktiviti ski dan snowboarding di kawasan pergunungan yang cantik. Selain itu, kawasan ini juga sesuai untuk bermain salji sambil menikmati pemandangan alam semula jadi yang menenangkan.
Di samping pengalaman di pergunungan, lawatan ke pusat panda turut menjadi tarikan yang tidak boleh dilepaskan. Haiwan ini lebih aktif dalam cuaca sejuk, menjadikan sesi pemerhatian lebih menarik dan menyeronokkan.
Chengdu juga terkenal dengan makanan panas dan pedas seperti hotpot Sichuan. Hidangan ini sangat sesuai dinikmati ketika cuaca sejuk yang akan menjadikan pengalaman winter di sini lebih lengkap dari segi budaya dan gastronomi.
Secara keseluruhannya, Asia sebenarnya mempunyai pelbagai destinasi winter yang bukan sahaja cantik tetapi juga penuh dengan pengalaman unik. Pengalaman ini tidak kurang hebatnya berbanding destinasi musim sejuk di Eropah. Dari festival ais gergasi di Harbin, pergunungan Himalaya di Kashmir hinggalah ke ski resort moden di Jepun, semuanya menawarkan pengalaman musim sejuk yang berbeza dan tidak dapat dilupakan.
Jika anda sedang merancang percutian musim sejuk, Asia ialah pilihan terbaik untuk menikmati winter wonderland tanpa perlu kos perjalanan yang tinggi atau penerbangan jauh. Lebih dekat, lebih mudah dan pastinya lebih berbaloi untuk dijadikan destinasi impian anda.