Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dari Ipoh Sampai Penang, Ini Penginapan Dan ‘Port’ Menarik Yang Menanti Untuk Diterokai

Penang
Kredit: SK

Sebut sahaja Ipoh dan Penang, pasti terbayang makanan yang menggoda selera, bangunan berusia puluhan tahun serta lokasi menarik yang sering menjadi pilihan untuk ‘short getaway’.

Namun, di sebalik tempat yang sudah biasa dikunjungi, masih banyak pengalaman menarik yang boleh diterokai.

Percutian dalam negara juga tidak semestinya memerlukan perancangan yang rumit atau perjalanan yang jauh.

Kadangkala, cukup dengan melihat sesuatu destinasi dari sudut berbeza untuk menemukan sisi baharu yang sebelum ini mungkin terlepas pandang, termasuk kisah warisan, budaya, makanan dan keindahan alam sekitarnya.

Jadi, buat yang merancang perjalanan dari Ipoh ke Penang, apa kata jadikan trip kali ini sedikit berbeza?

Selain menikmati suasana di kedua-dua destinasi, terdapat beberapa penginapan dan ‘port’ menarik yang boleh dimasukkan dalam senarai untuk pengalaman percutian yang lebih bermakna.

Menerusi Event Trip #KlookDulu: Media Fam Trip selama empat hari tiga malam dari 7 hingga 10 September, beberapa wakil media termasuk SK berpeluang meneroka Ipoh dan Penang untuk merasai sendiri pelbagai pengalaman tempatan, sekali gus menemukan sisi lain kedua-dua destinasi yang mungkin belum pernah diketahui sebelum ini.

Penginapan Dan ‘Port’ Menarik Untuk Diterokai Di Ipoh

  1. Kellie’s Castle

Perjalanan di Ipoh bermula dengan kunjungan ke salah satu lokasi bersejarah yang cukup sinonim dengan bandar ini, iaitu Kellie’s Castle di Batu Gajah.

Dikelilingi suasana kehijauan, bangunan bersejarah ini cukup dikenali dengan seni bina unik serta kisah di sebalik pembinaannya oleh William Kellie Smith.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Struktur bangunan yang tidak pernah disiapkan sepenuhnya, ruang-ruang misteri serta pelbagai cerita yang mengiringinya menjadikan Kellie’s Castle bukan sekadar lokasi bersejarah, malah destinasi yang penuh dengan kisah untuk disingkap.

Sepanjang kunjungan, peluang untuk melihat sendiri ruang dan struktur bangunan berkenaan memberikan gambaran lebih dekat mengenai sejarah yang sering dikaitkan dengan lokasi ini.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Pemandangan sekitar Batu Gajah turut melengkapkan pengalaman meneroka kawasan bersejarah ini yang dikelilingi suasana kehijauan.

Bagi yang gemarkan lokasi bersejarah dengan kisah tersendiri, Kellie’s Castle boleh menjadi antara persinggahan menarik ketika berada di sekitar Ipoh.

  1. Tasik Cermin, Ipoh

Selepas meneroka sisi sejarah Ipoh, perjalanan diteruskan pula ke Tasik Cermin yang terletak di kawasan Gunung Rapat.

Kalau selama ini hanya melihat gambar tasik yang terkenal dengan permukaan airnya yang seakan-akan cermin, pengalaman menaiki bot melalui terowong menjadi antara tarikan yang tidak boleh dilepaskan ketika berkunjung ke sini.

Kredit: Adib Haiqal/SK
Kredit: Adib Haiqal/SK

Tasik Cermin merupakan bekas kawasan kuari yang sudah lama tidak lagi beroperasi dan mempunyai dua tasik serta dua terowong yang menjadi antara ciri unik kawasan ini.

Terdapat dua tasik utama di kawasan ini, iaitu Tasik Cermin 1 atau Mirror Lake dan Tasik Cermin 2 atau Hidden World.

Untuk ke Tasik Cermin 1, laluan sepanjang kira-kira 90 meter melalui terowong bekas perlombongan perlu dilalui sebelum tiba di kawasan tasik.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Tasik Cermin 2 pula boleh diterokai dengan menaiki bot melalui terowong air sepanjang kira-kira 130 meter.

Ketika berada di sini, perjalanan menaiki bot melalui terowong sebelum tiba di kawasan tasik memberikan perspektif berbeza terhadap kawasan bekas kuari yang kini dikelilingi formasi batu kapur dan kehijauan.

Tasik Cermin juga merupakan salah satu daripada 19 geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.

Namanya pula cukup bertepatan dengan suasana yang boleh dilihat apabila permukaan air menghasilkan kesan pantulan seperti cermin, dengan bukit batu kapur dan pepohon di sekelilingnya turut membentuk pemandangan yang tersendiri.

  1. Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee

Kalau selepas meneroka Tasik Cermin terasa nak berehat sambil menikmati secawan kopi, Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee boleh dimasukkan dalam senarai persinggahan.

Terletak di kawasan berhampiran Tasik Cermin, kafe ini menawarkan suasana yang sedikit berbeza apabila dikelilingi formasi batu kapur dan kehijauan yang menjadi antara identiti kawasan tersebut.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee turut menawarkan pilihan makanan dan minuman yang halal, sekali gus sesuai untuk pengunjung Muslim yang mahu menikmati hidangan sambil bersantai dalam suasana yang tenang.

Sepanjang persinggahan kali ini, penulis turut berpeluang mencuba dry fried wanton noodle dan white coffee ice sebagai antara menu yang ditawarkan.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Dry fried wanton noodle hadir dengan mi yang digoreng kering bersama bahan pelengkap, manakala white coffee ice pula sesuai dinikmati sejuk selepas seharian meneroka beberapa lokasi sekitar Ipoh.

Apa yang menarik, pengalaman di sini bukan sekadar tentang makanan dan kopi. Kedudukan kafe yang dikelilingi bukit batu kapur memberikan suasana tersendiri untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Chang Jiang White Coffee sendiri mempunyai sejarah yang cukup sinonim dengan Ipoh, dengan jenama berkenaan bermula sejak tahun 1970-an dan terkenal dengan kopi putihnya.

Dengan gabungan makanan, kopi dan pemandangan batu kapur di sekelilingnya, Kin Loong Valley Chang Jiang White Coffee menjadi antara persinggahan yang sesuai untuk merasai sisi Ipoh yang lebih santai.

  1. Concubine Lane

Dari keindahan alam, perjalanan diteruskan pula ke kawasan Ipoh Old Town untuk melihat sisi bandar lama yang cukup sinonim dengan identiti Ipoh.

Menariknya, kawasan bandar Ipoh sendiri dipisahkan oleh Sungai Kinta yang membahagikan bandar ini kepada dua bahagian utama, iaitu Ipoh Old Town di sebelah barat dan Ipoh New Town di sebelah timur.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Antara lokasi yang menjadi persinggahan ialah Concubine Lane yang cukup dikenali dengan suasana bandar lama, deretan rumah kedai klasik, mural menarik serta pelbagai pilihan makanan dan kafe.

Berjalan di sekitar lorong ini memberikan pengalaman tersendiri apabila wajah lama Ipoh terus hidup dalam suasana yang lebih moden.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Sepanjang berada di sini, pengunjung boleh mengambil peluang berjalan kaki sambil melihat seni bina bangunan lama, menikmati makanan dan meneroka pelbagai kedai yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

Bukan sekadar lokasi untuk bergambar, Concubine Lane dan kawasan Ipoh Old Town turut memperlihatkan gabungan warisan, makanan dan kehidupan bandar yang menjadikan Ipoh begitu unik.

  1. WEIL Hotel

Selepas meneroka beberapa lokasi sekitar Ipoh, tiba masa untuk berehat sebelum perjalanan diteruskan ke Pulau Pinang.

WEIL Hotel yang terletak di tengah-tengah bandar Ipoh menjadi antara pilihan penginapan sepanjang perjalanan ini.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Hotel bandar bertaraf lima bintang tersebut menawarkan bilik tetamu dengan reka bentuk kontemporari, pilihan tempat makan serta teres di tingkat atas yang menyajikan pemandangan panorama bandar.

Menariknya, pengalaman menginap di sini turut memberi peluang untuk melihat beberapa kemudahan yang ditawarkan, termasuk concept room yang menampilkan reka bentuk lebih eksklusif dengan kemudahan jacuzzi di dalam bilik.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Tetamu yang memilih concept room turut mempunyai akses ke concept lounge khas di tingkat 12.

Ruang tersebut menyediakan pelbagai pilihan makanan serta kawasan santai yang selesa, selain sesuai digunakan untuk melakukan kerja dalam suasana yang lebih tenang.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Kedudukannya yang bersebelahan dengan Ipoh Parade Shopping Centre juga memudahkan tetamu mendapatkan akses ke pusat membeli-belah, pilihan makanan dan hiburan keluarga.

Hotel ini turut berada tidak jauh dari kawasan warisan Ipoh, termasuk Stesen Kereta Api Ipoh, Kong Heng Square serta lokasi makanan popular di sekitar Ipoh Old Town.

Kemudahan lain seperti gym, ballroom, conference hall, surau, rooftop terrace dan kolam renang turut disediakan untuk tetamu.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Sepanjang menginap di sini, tetamu juga turut disediakan dengan pilihan supper dan sarapan, sekali gus melengkapkan pengalaman penginapan selepas seharian meneroka sekitar Ipoh.

Selepas seharian meneroka Ipoh, WEIL Hotel menjadi tempat untuk berehat dan mengumpul tenaga sebelum perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya.

Penginapan Dan ‘Port’ Menarik Untuk Diterokai Di Penang

Selepas meneroka beberapa sisi Ipoh, perjalanan diteruskan pula ke Pulau Pinang yang menawarkan gabungan pengalaman alam, makanan, warisan dan kehidupan bandar.

  1. Penang Hill atau Bukit Bendera

Setibanya di Pulau Pinang, perjalanan diteruskan ke Penang Hill atau Bukit Bendera di Air Itam.

Antara pengalaman yang menarik ketika berada di sini tentunya perjalanan menaiki kereta api funikular dari stesen bawah menuju ke kawasan atas bukit.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Perjalanan tersebut mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit, dengan suasana bandar perlahan-lahan berubah kepada kawasan tanah tinggi yang lebih menghijau.

Penang Hill terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar George Town dan terdiri daripada beberapa puncak, dengan Western Hill menjadi titik tertinggi pada ketinggian 833 meter dari aras laut.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Kawasan ini mempunyai sejarah yang panjang sejak zaman British dan pernah digunakan sebagai tempat beristirahat daripada cuaca panas di kawasan tanah rendah.

Penang Hill juga mempunyai bangunan warisan yang dibina sejak era kolonial, termasuk bangunan yang dibina pada awal 1800-an.

Selain menikmati perjalanan menaiki funikular, terdapat juga laluan alam semula jadi dan aktiviti berjalan kaki melalui hutan yang boleh diterokai.

Dari kawasan tanah tinggi ini, pengunjung turut berpeluang menikmati pemandangan panoramik George Town dan kawasan pantai timur Pulau Pinang.

Penang Hill juga terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna, manakala Penang Hill Biosphere Reserve telah diiktiraf di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO pada 2021.

Dengan gabungan sejarah, warisan, hutan dan pemandangan bandar dari kawasan tanah tinggi, Penang Hill menjadi antara lokasi yang memperlihatkan sisi berbeza Pulau Pinang.

  1. Penang Tropical Fruit Farm

Dari kawasan tanah tinggi, perjalanan diteruskan pula ke Penang Tropical Fruit Farm di Teluk Bahang untuk pengalaman agropelancongan.

Kali ini, lawatan bukan sekadar melihat buah-buahan yang tersedia di meja, sebaliknya turut disertai guided farm tour yang dikendalikan oleh Encik Danny.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Sepanjang lawatan, pelbagai jenis tanaman diperkenalkan bersama fakta menarik mengenai buah-buahan yang terdapat di ladang berkenaan.

Penang Tropical Fruit Farm dibangunkan pada 1993 dan terletak di kawasan berbukit kira-kira 800 kaki dari aras laut, dengan keluasan sekitar 25 ekar.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Ladang ini mempunyai koleksi lebih 200 spesies buah yang boleh dimakan, termasuk buah-buahan tempatan dan spesies eksotik yang diperoleh dari pelbagai kawasan seperti Asia Tenggara, Amerika Tengah dan Selatan, Afrika Tengah, India, Timur Tengah, Caribbean serta Kepulauan Pasifik.

Antara buah yang boleh ditemui termasuk durian, rambutan, manggis, nanas, betik, buah naga, cempedak, ciku dan avokado.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Sepanjang sesi tersebut, penerangan mengenai kayu manis, buah pala dan nanas turut dikongsikan, termasuk cara mengenal pasti nanas yang mempunyai rasa lebih manis.

Antara pengalaman yang paling menarik pula ialah mencuba buah ajaib, iaitu buah yang boleh mengubah persepsi rasa masam kepada manis selepas dimakan.

Buah tersebut perlu dikunyah selama kira-kira dua minit sebelum mencuba buah lain bagi melihat sendiri perubahan rasa yang berlaku.

Selain itu, lawatan turut disertai aktiviti merasa buah-buahan segar dan jus buah.

Dengan koleksi buah yang pelbagai serta aktiviti berasaskan pertanian dan pendidikan, Penang Tropical Fruit Farm menjadi antara lokasi menarik untuk mengenali kepelbagaian buah tropika sambil menikmati suasana ladang di Teluk Bahang.

3. Nasi Kandar Kampung Melayu

Kalau dah sampai Pulau Pinang, tak lengkap rasanya kalau tak pekena nasi kandar.

Jadi, perjalanan diteruskan pula ke Nasi Kandar Kampung Melayu (NKKM), yang sudah hampir 56 tahun menyajikan nasi kandar kepada pelanggan.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Di sini, pengalaman menikmati nasi dengan pilihan lauk dan kuah yang pelbagai menjadi antara persinggahan yang tidak kurang menarik sepanjang perjalanan.

Kisah NKKM bermula sekitar tahun 1970-an apabila Abdul Razak yang berhijrah dari Sri Lanka mempelajari resipi nasi kandar daripada seorang kenalan rapatnya.

Sekitar tahun 2000, Abdul Razak mengambil alih sebuah kedai kopi dan meneruskan perniagaan nasi kandar di situ.

Nama Nasi Kandar Kampung Melayu pula dikekalkan kerana sudah cukup sinonim dalam kalangan pelanggan.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Kini, legasi tersebut diteruskan oleh anaknya, Abdul Nazer yang dibantu isterinya, Zainab Mohd Eusoff dalam menguruskan operasi harian.

Menariknya, resipi yang digunakan masih mengekalkan resipi arwah Abdul Razak, selain menggunakan rempah berkualiti yang digiling sendiri.

Lebih 20 jenis lauk segar turut disediakan setiap hari, daripada ayam dan daging hinggalah sotong serta udang.

Antara yang boleh dicuba ialah gulai kepala ikan yang disajikan menggunakan claypot, selain roti canai yang turut menjadi antara sajian sinonim NKKM.

Selain mengisi perut selepas meneroka beberapa lokasi, persinggahan di sini turut memberi peluang untuk mengenali kisah sebuah perniagaan keluarga yang sudah bertahan selama beberapa dekad.

  1. Batu Ferringhi, Penang

Kalau nak menikmati sisi Pulau Pinang yang lebih santai, apa kata singgah pula di Batu Ferringhi.

Terletak di sepanjang kawasan pesisir utara Pulau Pinang, Batu Ferringhi cukup sinonim dengan pantai berpasir, deretan hotel dan resort serta pelbagai pilihan makanan dan aktiviti untuk pengunjung.

Kawasan ini juga antara destinasi pantai popular di Pulau Pinang yang sering menjadi pilihan untuk berehat sambil menikmati suasana tepi laut.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Dalam perjalanan kali ini, persinggahan di Batu Ferringhi memberikan sedikit ruang untuk menikmati suasana pantai selepas meneroka pelbagai lokasi sebelum itu.

Bukan sekadar duduk menikmati pemandangan laut, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai aktiviti air seperti parasailing dan banana boat yang tersedia di sepanjang kawasan pantai.

Bagi yang lebih gemar bersantai, kawasan sekitar Batu Ferringhi turut mempunyai pelbagai pilihan restoran, bar tepi pantai dan tempat makan yang sesuai untuk menikmati hidangan sambil melihat suasana sekitar.

Menariknya, kawasan ini turut mempunyai Ferringhi Walk yang menawarkan pilihan makanan, membeli-belah dan hiburan dalam suasana yang lebih meriah.

Menjelang waktu malam pula, suasana Batu Ferringhi menjadi lebih hidup dengan bazar malam yang menawarkan pelbagai barangan dan pilihan untuk pengunjung.

Dengan gabungan pantai, aktiviti air, pilihan makanan dan suasana santai, Batu Ferringhi boleh menjadi antara lokasi yang sesuai untuk melengkapkan perjalanan meneroka Pulau Pinang.

  1. lyf Georgetown Penang

Selepas seharian meneroka pelbagai lokasi menarik di Pulau Pinang, apa kata jadikan lyf Georgetown Penang sebagai tempat untuk berehat dan menginap?

Terletak di Jalan Penang, George Town, hotel ini menawarkan konsep penginapan yang lebih moden dan santai dengan penekanan terhadap pengalaman sosial serta ruang bersama.

Sepanjang berada di sini, konsep penginapan dan beberapa kemudahan yang ditawarkan turut sempat diterokai.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Menariknya, lyf Georgetown Penang bukan sekadar menyediakan bilik untuk bermalam, tetapi turut mempunyai pelbagai ruang yang direka untuk kegunaan dan interaksi tetamu.

Antaranya ialah Bond, iaitu dapur sosial yang boleh digunakan bersama, selain Burn sebagai ruang gim dan Connect yang berfungsi sebagai ruang kerja bersama serta acara.

Bagi yang mahu berehat selepas seharian berjalan-jalan, terdapat juga Dip, iaitu kolam renang, manakala Unwind pula menyediakan ruang santai untuk tetamu.

Kemudahan lain termasuk bilik mesyuarat, ruang dobi bersama serta kawasan untuk bekerja atau mengadakan aktiviti.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Dari segi penginapan, lyf Georgetown Penang menawarkan beberapa pilihan bilik dengan konsep berbeza, termasuk bilik studio untuk seorang, studio berkembar serta bilik dua bilik tidur dan tiga bilik tidur yang sesuai untuk mereka yang datang bersama keluarga atau kumpulan rakan.

Konsep penginapan sebegini memberikan pengalaman yang sedikit berbeza berbanding hotel konvensional apabila tetamu bukan sahaja mempunyai ruang peribadi, tetapi turut boleh menggunakan kemudahan bersama dan bersosial dalam suasana yang lebih santai.

  1. Chew Jetty

Keesokan harinya, perjalanan diteruskan pula ke salah satu lokasi yang cukup sinonim dengan warisan kehidupan masyarakat di George Town, iaitu Chew Jetty.

Terletak di Pengkalan Weld, Chew Jetty merupakan salah satu jeti klan yang terkenal di Pulau Pinang dan berasal daripada penempatan masyarakat Cina yang membina rumah di atas tiang di kawasan pesisir.

Jeti-jeti ini menjadi sebahagian daripada warisan budaya George Town yang masih wujud sehingga hari ini.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Menurut panduan pelancongan rasmi Pulau Pinang, Chew Jetty merupakan antara jeti klan yang paling terkenal dan mesra pelancong.

Kawasan ini turut mempunyai lebih banyak rumah atas tiang serta laluan pejalan kaki yang panjang, selain sebuah tokong yang menjadi antara tarikan untuk diterokai.

Sepanjang berada di sini, pengalaman berjalan di atas laluan kayu sambil melihat deretan rumah yang dibina di atas air memberikan perspektif berbeza terhadap kehidupan masyarakat yang sudah lama menjadi sebahagian daripada sejarah George Town.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Menariknya, Chew Jetty bukan sekadar lokasi untuk bergambar. Kawasan ini masih menjadi sebahagian daripada komuniti yang hidup, dengan rumah kediaman dan aktiviti harian penduduk yang terus berlangsung di kawasan berkenaan.

Dengan suasana perkampungan atas air, rumah-rumah tradisional dan kisah komuniti yang diwarisi sejak beberapa generasi, Chew Jetty menjadi antara persinggahan yang memperlihatkan sisi Pulau Pinang dari sudut warisan dan kehidupan masyarakat setempat.

  1. Masjid Melayu Lebuh Acheh

Selepas meneroka Chew Jetty, perjalanan diteruskan pula ke Masjid Melayu Lebuh Acheh yang terletak tidak jauh dari kawasan warisan George Town.

Masjid ini mempunyai sejarah yang cukup panjang apabila kawasan perkampungan masyarakat Islam di Lebuh Acheh mula dibangunkan pada 1792 oleh Tengku Syed Hussain Al-Aidid, seorang kerabat diraja Acheh dari Sumatera. Masjid berkenaan kemudiannya dibina pada tahun 1808.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Pada suatu ketika dahulu, kawasan ini turut menjadi antara pusat tumpuan masyarakat Islam dan dikenali sebagai tempat persinggahan bakal jemaah haji sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.

Malah, Pulau Pinang pernah dikenali sebagai ‘Jeddah Kedua’ kerana peranannya sebagai tempat berkumpul dan berurusan bagi bakal jemaah haji dari rantau ini.

Dari segi seni bina pula, Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai gabungan pengaruh yang menarik. Menurut Arkib Negara Malaysia, reka bentuknya menampilkan unsur Moorish, Cina dan Klasikal, manakala menaranya mempunyai bentuk yang seakan-akan pagoda Cina.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Menariknya, masjid ini bukan sekadar sebuah rumah ibadat, tetapi turut menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan masyarakat Islam di George Town.

Masjid Melayu Lebuh Acheh juga telah diiktiraf sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, sekali gus memperlihatkan kepentingannya sebagai sebahagian daripada warisan sejarah Pulau Pinang.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Persinggahan di sini memberikan satu lagi perspektif terhadap kepelbagaian warisan George Town, khususnya bagaimana sejarah masyarakat Islam turut berkembang dan membentuk identiti bandar ini sejak ratusan tahun lalu.

  1. UMI UMI Penang

Kalau mahu cuba pengalaman yang sedikit berbeza sepanjang berada di George Town, UMI UMI Penang boleh dimasukkan dalam senarai.

Terletak di @ The Garage, Jalan Penang, UMI UMI menawarkan pengalaman dining theatre yang menggabungkan hidangan makanan dengan persembahan secara langsung.

Pengalaman yang dikenali sebagai The Chronicle of Penang ini membawa pengunjung menyelami kisah perjalanan Pulau Pinang sepanjang kira-kira 200 tahun menerusi sembilan bab dan tujuh hidangan.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Sepanjang kira-kira 90 minit, hidangan disajikan sambil persembahan berlangsung, menjadikan pengalaman makan sedikit berbeza daripada kunjungan biasa ke restoran.

Antara kisah yang diketengahkan termasuk kedatangan Francis Light, penghijrahan, pertembungan budaya, peperangan serta perkembangan George Town.

Setiap bab turut disertakan dengan hidangan yang direka khas bagi melengkapkan penceritaan, sekali gus menggabungkan unsur warisan Pulau Pinang dengan cita rasa Timur dan Barat.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Pengalaman mencuba dining theatre ini menjadi antara aktiviti yang cukup unik sepanjang perjalanan kerana sejarah bukan sekadar diceritakan, tetapi disampaikan bersama makanan dan persembahan secara langsung.

Bagi yang mencari pengalaman berbeza di George Town, UMI UMI Penang boleh menjadi salah satu pilihan untuk mengenali kisah Pulau Pinang dari sudut yang lebih interaktif.

  1. Chowrasta Market

Selepas empat hari tiga malam meneroka pelbagai sisi Ipoh dan Penang, Chowrasta Market menjadi persinggahan terakhir sebelum rombongan bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Terletak di Jalan Chowrasta, Penang Road, pasar yang sudah wujud sejak pertengahan abad ke-19 ini antara lokasi yang cukup sinonim dengan kehidupan tempatan di George Town.

Persinggahan terakhir ini memberi peluang untuk berjalan di sekitar pasar sambil melihat sendiri pelbagai pilihan barangan serta produk tempatan yang ditawarkan.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Berbanding pusat membeli-belah moden, suasana di sini lebih dekat dengan pengalaman pasar tradisional yang masih dikunjungi penduduk tempatan dan pelancong.

Antara tarikan yang boleh ditemui termasuk pelbagai makanan tempatan, buah-buahan jeruk, makanan ringan serta produk dan barangan tradisional yang sesuai dibawa pulang sebagai buah tangan.

Dalam perjalanan kali ini, persinggahan di Chowrasta Market juga menjadi peluang terakhir untuk mendapatkan produk tempatan dan cenderamata sebelum meninggalkan Pulau Pinang.

Kredit: Adib Haiqal/SK

Dengan suasana pasar tradisional, pilihan makanan serta pelbagai barangan tempatan, Chowrasta Market menjadi penutup yang cukup sesuai untuk perjalanan empat hari tiga malam meneroka Ipoh dan Penang.

Daripada warisan dan alam semula jadi di Ipoh, hinggalah kepada makanan, budaya dan pengalaman unik di Pulau Pinang, perjalanan ini bukan sahaja membawa kami ke beberapa lokasi menarik, malah memberikan peluang untuk melihat sendiri sisi tempatan yang mungkin sebelum ini belum pernah diterokai.

Empat hari tiga malam itu akhirnya bukan sekadar tentang destinasi yang dikunjungi, tetapi pengalaman yang dikumpul sepanjang perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Intipati
  • Trip media empat hari tiga malam meneroka lokasi menarik sekitar Ipoh dan Pulau Pinang.
  • Antara tarikan Ipoh termasuk Kellie’s Castle, Tasik Cermin, Concubine Lane dan WEIL Hotel.
  • Di Pulau Pinang, perjalanan merangkumi Penang Hill, Chew Jetty, Batu Ferringhi dan Chowrasta Market.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan