Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dapat Kelulusan Kerajaan Indonesia, Eni Dan Petronas Bakal Bangunkan Lapangan Gas Geliga Di Kalimantan Timur

Eni Dan Petronas Bakal Bangunkan Lapangan Gas Geliga
Kredit: AFP

Kerajaan Indonesia meluluskan Pelan Pembangunan (POD) Lapangan Geliga di Blok Ganal, dengan kelulusan itu diberikan hanya enam bulan selepas penemuan simpanan gas berskala besar di kawasan berkenaan.

Kelulusan tersebut membolehkan pembangunan sumber gas asli sebanyak 8 trilion kaki padu (TCF) daripada gabungan Lapangan Geliga dan Lapangan Gula di Lembangan Kutei, Kalimantan Timur.

Kedua-dua lapangan itu dibangunkan Searah, sebuah syarikat usaha sama antara syarikat minyak dan gas dari Itali, Eni, dengan syarikat dari Malaysia, Petronas, yang masing-masing memiliki 50 peratus kepentingan di Lapangan Geliga.

Dalam kenyataan rasmi, Eni memaklumkan kelulusan pelan pembangunan itu diberikan pada 23 November 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara pengeluar gas utama di Indonesia.

“Kelulusan pelan pembangunan Lapangan Geliga menandakan satu pencapaian baharu dalam perkembangan operasi Eni di Lembangan Kutei, Indonesia, selain membuktikan kepakaran syarikat dalam penerokaan, pelaksanaan projek secara pantas serta penyelesaian projek dengan teratur,” menurut Eni menerusi laman web rasminya, seperti dipetik pada Selasa (24 November 2026).

Eni Dan Petronas Bakal Bangunkan Lapangan Gas Geliga

Gambar hiasan

Pembangunan itu melibatkan sumber gas sebanyak 5.9 trilion kaki padu serta 250 juta tong kondensat daripada Lapangan Geliga, selain digabungkan dengan potensi 2.2 trilion kaki padu gas daripada Lapangan Gula yang ditemukan sebelum ini.

Eni berkata, penyatuan kedua-dua lapangan itu bakal membentuk pusat pengeluaran gas ketiga di Lembangan Kutei, dengan pengeluaran maksimum dijangka mencecah satu bilion kaki padu gas sehari dan 50,000 tong kondensat sehari.

Pusat pengeluaran baharu itu bakal melengkapkan dua pusat sedia ada di Lembangan Kutei, iaitu South Hub yang sudah beroperasi dan North Hub yang kini dalam pembinaan.

Melalui ketiga-tiga pusat pengeluaran itu, Eni menyasarkan jumlah pengeluaran keseluruhan di Kalimantan Timur mencecah tiga bilion kaki padu gas sehari dan 140,000 tong kondensat sehari menjelang akhir dekad ini.

“Pengeluaran ini akan memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara melalui penggunaan kemudahan sedia ada di kawasan berkenaan, termasuk Kilang LNG Bontang dan Unit Pengeluaran Terapung Jangkrik (FPU),” menurut Eni.

Pembangunan Lapangan Geliga pula melibatkan pembinaan 15 telaga bawah laut, rangkaian paip pengaliran serta sebuah kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemprosesan terapung (FPSO) baharu.

FPSO itu direka untuk memproses sehingga satu bilion kaki padu gas sehari dan 80,000 tong kondensat sehari, selain mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak 1.4 juta tong.

Gas yang diproses di atas FPSO akan disalurkan melalui paip ke kemudahan penerimaan di darat, iaitu Terminal Santan serta rangkaian paip gas Kalimantan Timur, sebelum sebahagiannya dicairkan di Kilang LNG Bontang untuk pasaran eksport manakala selebihnya dibekalkan bagi memenuhi permintaan domestik.

Pembangunan pusat pengeluaran baharu Geliga turut diselaraskan dengan projek North Hub yang dijadualkan mula beroperasi pada 2028 bagi mengoptimumkan kos dan tempoh pembinaan.

Untuk rekod, Searah mengendalikan 19 aset pengeluaran dan pembangunan, merangkumi 14 aset di Indonesia dan lima aset di Malaysia.

Searah kini mencatatkan pengeluaran kira-kira 350,000 tong setara minyak sehari dan menyasarkan peningkatan kepada lebih 500,000 tong setara minyak sehari menjelang 2028.

Eni turut bekerjasama dengan SKK Migas bagi meningkatkan penggunaan komponen tempatan serta memanfaatkan kapasiti Kilang LNG Bontang.

Selain projek berkenaan, Eni turut mengendalikan Peri-Mahakam PSC, Makassar Strait PSC dan Blok Sapukala, selain mencapai persetujuan pada Oktober 2026 untuk menjual sebahagian kepentingan dalam aset Searah kepada Pertamina dan Medco.

Intipati
  • Indonesia meluluskan Pelan Pembangunan Lapangan Geliga enam bulan selepas penemuan gas besar.
  • Eni dan Petronas masing-masing memiliki 50 peratus kepentingan dalam Lapangan Geliga.
  • Pusat Geliga dijangka menghasilkan satu bilion kaki padu gas sehari pada kapasiti maksimum.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan