Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dakwaan Pelajar Cemerlang SPM Gagal Ke Matrikulasi: ADUN Kota Kemuning Tarik Semula Kenyataan

Iqbal Yasir
ADUN Kota Kemuning
Kredit: Fb Preakas Sampunathan

Dakwaan Pelajar Cemerlang SPM Gagal Ke Matrikulasi: ADUN Kota Kemuning Tarik Semula Kenyataan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan menarik semula dua kenyataan terdahulu yang dikeluarkan berhubung kes seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa tidak menerima penempatan dalam program Matrikulasi.

Preakas dalam kenyataan tersebut berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan lanjut kepada orang ramai.

"Sebagai seorang ADUN Kota Kemuning, saya ingin membuat pembetulan rasmi berhubung dua kenyataan media terdahulu.

"Ia berkaitan kes seorang pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan SPM dan didakwa tidak menerima tempat dalam program Matrikulasi," katanya.

Tambah ADUN Kota Kemuning itu, beliau dimaklumkan dan disahkan bahawa pelajar berkenaan sebenarnya telah menerima tawaran ke program Matrikulasi.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta semua agensi berkaitan atas penjelasan.

"Ia termasuk usaha berterusan dalam memastikan pelajar-pelajar yang layak terus diberikan peluang dalam sistem pendidikan negara.

"Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan masa depan pendidikan anak-anak muda.

"Pada masa yang sama, adalah penting memastikan setiap maklumat yang diterima diperbetulkan apabila fakta sebenar telah diperjelaskan.

"Saya akan terus komited dalam memperjuangkan ketelusan, keadilan dan peluang pendidikan yang saksama untuk semua pelajar di Malaysia," katanya.