Penampakan langit berwarna oren pekat hampir merah di Kalimantan Tengah terus menjadi perhatian di media sosial ketika kebakaran hutan dan lahan masih berlaku di beberapa wilayah Indonesia.
Langit oren di Kalimantan
Salah satu video yang dimuat naik oleh akaun Threads @delefia pada Ahad (20 Sept) menunjukkan suasana di Paduran Sabangau, Sebangau Kuala, Kalimantan Tengah, yang diselubungi kabus berwarna oren pekat.
Video berkenaan dirakam pada 2.56 petang waktu Indonesia Barat, manakala satu lagi video oleh akaun sama dirakam pada 2.38 petang pada hari yang sama.
“Ini masih di dunia kan?” demikian kapsyen yang tertera pada video pertama.
Video berkenaan mendapat perhatian ramai pengguna media sosial apabila ditonton kira-kira 1.2 juta kali, menerima lebih 68,000 tanda suka dan lebih 4,100 komen.
Video kedua pula menerima lebih 6,970 tanda suka dan 235 komen sebelum dikongsi semula oleh akaun Instagram @barengquran.
“Warna merah menyelimuti penuh langit Kalimantan dan udara sangat buruk,” menurut kapsyen pada video berkenaan.
Fenomena itu turut dibandingkan pengguna media sosial dengan Mugen Tsukuyomi, iaitu teknik ilusi dalam siri anime Naruto yang menyebabkan makhluk hidup terperangkap dalam keadaan tidur abadi selepas terkena cahaya Rinne Sharingan.
Usaha tangani kebakaran terus diperkukuh
Sementara itu, Kementerian Kehutanan Indonesia memaklumkan usaha memadam kebakaran hutan dan lahan di Kalimantan Tengah serta Sumatera Selatan terus diperkukuh menerusi operasi darat, pengeboman air, rondaan udara, pembasahan dan penyejukan kawasan serta Operasi Pengubahsuaian Cuaca.
Menurut kementerian itu, Kalimantan Tengah masih merekodkan jumlah titik panas dengan tahap keyakinan tinggi tertinggi dalam kalangan enam wilayah keutamaan, meskipun jumlahnya menurun berbanding hari sebelumnya.
“Di Kalimantan Tengah, meskipun titik panas dengan tahap keyakinan tinggi turun daripada 1,035 kepada 968 titik, kabut asap masih menjadi cabaran serius bagi operasi dan aktiviti masyarakat.
“Pada Ahad (20 Sept), jarak penglihatan di Lapangan Terbang Tjilik Riwut, Palangka Raya, sempat menurun kepada kira-kira 600 meter,” menurut kenyataan itu pada Isnin (21 Sept).
Keadaan tersebut turut menjejaskan 14 pergerakan penerbangan yang terdiri daripada tujuh ketibaan dan tujuh berlepas.
Berdasarkan data SiPongi Kementerian Kehutanan yang bersumberkan satelit NASA Terra/Aqua, SNPP dan NOAA-20, sebanyak 1,532 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh Indonesia sehingga 11.59 malam Ahad, meningkat 209 titik berbanding 1,323 titik pada Sabtu.
Bagi enam wilayah keutamaan, Kalimantan Tengah merekodkan 968 titik panas, diikuti Sumatera Selatan dengan 285 titik, Kalimantan Barat (98), Kalimantan Selatan (39), Jambi (26) dan Riau (satu).
Kementerian Kehutanan menjelaskan bahawa titik panas merupakan petunjuk anomali suhu permukaan yang dikesan satelit dan tidak boleh disamakan secara langsung dengan kejadian kebakaran atau keluasan kawasan yang terbakar.
Menurut kementerian itu, setiap titik panas perlu disahkan menerusi pemeriksaan di lapangan dan keadaan sebenar di lokasi.
Dalam pada itu, masyarakat di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan keadaan kualiti udara serta arahan pihak berkuasa tempatan.
Kementerian Kehutanan turut menggalakkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di luar ketika keadaan udara merosot.
Perhatian khusus disarankan kepada kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kronik.
Masyarakat yang memandu dalam keadaan berjerebu pula dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan, menyalakan lampu dan mengekalkan jarak selamat.
Keadaan kembali normal
Dalam perkembangan terbaharu, @delefia menerusi Threads memaklumkan keadaan di Paduran Sabangau, Sebangau Kuala, Kalimantan Tengah, kembali normal pada Isnin (21 Sept), selepas situasi langit oren pekat yang dirakam sebelum ini.
“Masya Allah, akhirnya hari ini bisa kasi berita good news. Terima kasih banyak untuk semua orang di garda terdepan yang sudah menangani ini. Berkah selalu semuanya,” tulisnya.
Dia turut berharap keadaan berkenaan terus pulih dan penampakan langit berwarna oren pekat itu tidak berulang lagi.

