Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bila berlaku kecemasan melibatkan keluarga, sudah tentu kita akan terus meninggalkan kerja untuk bersama mereka, terutama apabila perkara itu melibatkan anak-anak.
Kecemasan bukan sesuatu yang boleh dirancang dan kita mungkin terpaksa meninggalkan tugasan serta meminta rakan sekerja mengambil alih kerja yang belum selesai.
Baru-baru ini, isu seorang ibu yang terpaksa mengambil cuti kecemasan dengan alasan anak sakit telah menarik perhatian ramai.
Kisah mendapat perhatian masyarakat selepas seorang wanita berkongsi pengalamannya menerusi panggilan telefon ke sebuah stesen radio mengenai rakan sekerjanya yang sering mengambil cuti kecemasan dengan alasan anaknya mengalami kecemasan.
Menurut wanita tersebut, rakan sekerjanya sudah beberapa kali berbuat demikian dan pernah mengambil cuti kecemasan sebanyak empat kali dalam seminggu.
Di tengah-tengah perkongsian wanita itu, penyampai radio yang menerima panggilan berkenaan cuba menjelaskan bahawa kecemasan melibatkan anak bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.
Namun, wanita tersebut berpendapat bahawa dia boleh menguruskan masanya jika perkara sama berlaku kepadanya apabila mempunyai anak pada masa akan datang.
Susulan itu, isu ini menjadi perdebatan dalam kalangan warga maya dengan pendapat yang terbahagi kepada dua.
Ada yang memahami ketidakpuasan hati wanita tersebut, namun tidak kurang juga yang kurang senang dengan kenyataannya.
Sementara itu, Public Health Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook bersetuju bahawa kecemasan keluarga sememangnya tidak boleh dijadualkan.
Namun, ini tidak bermaksud pekerja yang masih bujang secara automatik mempunyai lebih banyak masa hanya kerana mereka belum berkahwin atau mempunyai anak.
"Mereka juga ada ibu bapa, urusan peribadi, kepenatan dan kehidupan sendiri. Apabila kerap diminta menggantikan orang yang sama, memang boleh timbul rasa terbeban dan tidak adil," kata Public Health Malaysia.
Bagaimanapun, Public Health Malaysia berkata tindakan menyalahkan ibu yang perlu menguruskan anak sakit adalah tidak adil.
Pada masa yang sama, status sebagai ibu bapa juga tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menganggap rakan sekerja akan sentiasa memahami keadaan dan bersedia mengambil alih tugasan.
Menurut Public Health Malaysia, pandangan kedua-dua pihak adalah munasabah, namun masalah sebenar timbul apabila tempat kerja tidak mempunyai sistem sokongan yang baik.
"Masalah sebenar bermula apabila tempat kerja tiada sistem sokongan, tiada pelan penggantian dan terlalu bergantung kepada pengorbanan pekerja lain setiap kali berlaku kecemasan.
"Ibu bapa berhak menjaga anak yang sakit, manakala pekerja bujang pula berhak agar masa dan tenaga mereka tidak dianggap kurang bernilai," ujar Public Health Malaysia.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan