Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan cuaca sepanjang musim haji boleh mencecah lebih 40 darjah Celcius terutamanya menjelang waktu berwukuf nanti.
Susulan itu, kesemua jemaah digalakkan untuk kekal berada di dalam khemah bagi mengelakkan daripada terdedah kepada terik matahari dan risiko tekanan haba.
"Dinasihatkan kepada para jemaah untuk minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
"Jika ke masjid pada waktu tengah hari, gunakan kawasan pejalan kaki berbumbung atau payung," katanya.
Beliau juga menasihatkan jemaah untuk memakai pelitup muka bagi mengelakkan habu dan debu.
"Semua jemaah perlu menjaga kesihatan diri, lebih-lebih lagi ketika menjelang hari wukuf beberapa hari sahaja lagi.
"Sama-sama berdoa agar perjalanan haji tahun ini dipermudahkan oleh Allah SWT.
"Semoga semua jemaah haji diberikan kesihatan terbaik, pulang ke pangkuan keluarga dengan haji yang Mabrur, Insya-Allah," katanya lagi.
Beliau bercakap mengenai perkara tersebut dalam satu sidang media di Bilik Bunga Raya, Abraj Al Tayseer pada Selasa.

Sementara itu, Zulkifli turut berterima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi yang banyak melaksanakan penambahbaikan bagi kemudahan para jemaah terutamanya di Masyair.
Menurutnya, peningkatan infrastruktur am di kawasan Makkah seperti laluan berbumbung, perluasan kawasan Dataran Masjidil Haram dan sebagainya sangat membantu menambah keselesaan para jemaah Malaysia.
"Saya mewakili kerajaan Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan Arab Saudi terutamanya kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
"Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah, serta pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia atas kerjasama yang diberikan dalam melancarkan segala urusan perjalanan jemaah haji kita sehingga sampai ke Tanah Suci," ujarnya

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci bagi menunaikn ibadah haji tahun ini.
Ketibaan penerbangan terakhir dijadualkan pada Rabu dan menandakan 100 penerbangan telah selamat mendarat.