Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cuaca Panas Ketika Masyair, Pasukan Perubatan Bersiap Sedia Elak Jemaah Strok Haba

Athirah
Strok Haba

Cuaca Panas Ketika Masyair, Pasukan Perubatan Bersiap Sedia Elak Jemaah Strok Haba

Strok haba dianggap sebagai 'pembunuh senyap' kerana ia boleh berlaku tanpa tanda amaran yang jelas selain hanya kelihatan berpeluh dan kepanasan sebelum keadaan menjadi kritikal secara tiba-tiba.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan, Dr. Mohamad Zamri Harun berkata pasukan perubatan haji Malaysia memberi tumpuan penuh bagi memastikan setiap jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, khususnya untuk berwukuf di Arafah.

Beliau berkata, pelan operasi perubatan haji tahun ini melibatkan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Sebahagian petugas perubatan akan bergerak lebih awal ketika operasi Masyair bagi membuat persediaan di lokasi, manakala sebahagian lagi akan ditempatkan bersama jemaah di maktab bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan sekiranya diperlukan.

Beliau turut memaklumkan antara cabaran utama yang dihadapi pasukan perubatan ialah aspek komunikasi serta koordinasi pantas berikutan pergerakan jemaah yang sangat besar menuju ke Arafah.

“Kita perlu memastikan perkhidmatan kesihatan yang optimum dapat diberikan kepada semua jemaah haji,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai faktor cuaca, beliau berkata suhu melampau di Tanah Suci boleh menyebabkan jemaah mengalami dehidrasi, keletihan haba dan strok haba selain meningkatkan risiko penyakit berjangkit terutama jangkitan saluran pernafasan.

Jemaah disaran minum 10 gelas air sehari

Bagi mengurangkan risiko itu, pasukan kesihatan telah menjalankan program pendidikan kesihatan di setiap bilik penginapan jemaah sebelum mereka bergerak ke Arafah.

“Kita menasihatkan jemaah supaya mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu siang dan tidak memaksa diri untuk berjalan jauh atau menunaikan solat di Masjidil Haram seminggu sebelum wukuf

“Jemaah juga digalakkan minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak berasa haus bagi memastikan badan sentiasa terhidrat kerana cuaca di Tanah Suci sangat berbeza berbanding di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini masalah kesihatan paling tinggi direkodkan dalam kalangan jemaah ialah jangkitan saluran pernafasan atas seperti batuk dan sakit tekak.

Selain itu, ramai jemaah turut mengalami masalah kulit kering dan kegatalan akibat cuaca panas serta kecederaan tisu lembut disebabkan aktiviti berjalan yang banyak.

“Pasukan perubatan membawa bekalan pelembap kulit dari Malaysia untuk diberikan kepada jemaah dan kita juga mempunyai pasukan fisioterapi bagi membantu jemaah membuat persediaan fizikal menghadapi perjalanan jauh,” jelas Dr. Mohamad Zamri.

Menurut beliau, setiap jemaah yang tiba untuk menunaikan umrah pertama turut diberikan latihan regangan di klinik sebagai persediaan fizikal sebelum memulakan ibadah.

Simptom awal strok haba biasanya bermula dengan keletihan melampau, peluh berlebihan dan peningkatan suhu badan sebelum menjadi lebih serius sehingga menyebabkan jemaah keliru, sakit kepala dan pengsan.

“Keadaan itu memerlukan rawatan segera daripada pasukan perubatan,” katanya.