Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cipta Sejarah, Pasukan 10 Briged (Para) Catat Pencapaian Terbaik Dalam The Leapfest

Pasukan 10 Briged (Para)
Kredit: MK 10 BGD PARA

Cipta Sejarah, Pasukan 10 Briged (Para) Catat Pencapaian Terbaik Dalam The Leapfest

Pasukan 10 Briged (Para) yang mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) mencipta sejarah selepas merekodkan pencapaian terbaik dalam The Leapfest International Static Line Competition di Amerika Syarikat.

Menurut MK 10 BGD PARA menerusi perkongsian di Facebook, pencapaian itu merupakan yang terbaik sejak penyertaan pertama Malaysia dalam pertandingan berkenaan pada tahun 2024.

Kredit: MK 10 BGD PARA

Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan, manakala Royal Air Force (RAF), Great Britain muncul sebagai johan.

“Pertandingan yang berlangsung di Zon Gugur Glen Rock, Exeter, Rhode Island dan diakhiri di Quonset Point Air National Guard Base, North Kingstown itu menghimpunkan 48 pasukan dari 20 negara, menjadikannya pertandingan payung terjun statik paling berprestij di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kredit: MK 10 BGD PARA

Dalam kategori individu, tiga penerjun Malaysia berjaya berada dalam kelompok 50 terbaik daripada 192 peserta.

Mereka ialah Mejar Muhammad Aswad Mhd Pauzi yang menduduki tempat ke-12, Koperal Mohd Hanif Md Saad di tempat ke-33 dan Leftenan Nurul Nabila Iwana Mokhtar di tempat ke-34.

Kredit: MK 10 BGD PARA

Pencapaian itu sekali gus mencatat rekod terbaik Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

“Koperal Mohd Hanif Md Saad turut muncul sebagai Johan Kategori Para Simulator, membuktikan kecekapan serta kompetensi tinggi anggota 10 Bgd (Para) dalam aspek teknikal dan ketepatan penerjunan.

“Selain pertandingan, program Wing Exchange Jump bagi Static Line dan Military Free Fall (MFF) turut dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan ketenteraan antarabangsa serta memberi pengiktirafan melalui penganugerahan Sayap Penerjunan negara masing-masing,” katanya lagi.

Kredit: MK 10 BGD PARA
Kredit: MK 10 BGD PARA

Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan profesionalisme warga 10 Briged (Para), selain mengharumkan nama Tentera Darat Malaysia dan negara di persada antarabangsa.

Sumber:Facebook
Intipati
  • 10 Briged (Para) mewakili TDM menamatkan The Leapfest di tempat ketujuh keseluruhan.
  • Pertandingan di Amerika Syarikat itu menghimpunkan 48 pasukan dari 20 negara.
  • Tiga penerjun Malaysia berada dalam 50 terbaik, termasuk Mejar Muhammad Aswad di tempat ke-12.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan