Landskap politik Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjadi tumpuan dunia memandangkan negara itu mempunyai pengaruh geopolitik yang luas. Justeru, sebarang perkembangan melibatkan pentadbirannya sering mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Malah, pilihan raya di negara itu juga tidak terkecuali. Ia termasuk Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang berlangsung pada Selasa (waktu AS).
Pengundian kali ini membolehkan rakyat AS memilih anggota Kongres yang terdiri daripada dua dewan, iaitu Dewan Perwakilan dan Senat.
Antara calon yang mencuri perhatian dalam pilihan raya tersebut ialah Abdul El-Sayed daripada Parti Demokrat.
Untuk pengetahuan, beliau telah mengisytiharkan kemenangan dalam perebutan kerusi Senat di Michigan selepas bersaing dengan bekas anggota Kongres daripada Parti Republikan, Mike Rogers.
Menerusi kemenangan ini, Abdul El-Sayed bakal mencipta sejarah sebagai individu beragama Islam pertama dipilih menganggotai Senat AS.
Namun, mungkin masih ramai yang belum mengenali siapakah sebenarnya Abdul El-Sayed. Jadi, mari kita kenali dengan lebih dekat latar belakang dan perjalanan hidup beliau.
Siapa Abdul El-Sayed?
Untuk pengetahuan, Abdul El-Sayed merupakan seorang doktor perubatan, pakar epidemiologi dan bekas pegawai kesihatan awam.
Dilahirkan dan dibesarkan di tenggara Michigan, Abdul telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam usaha memastikan pentadbiran kerajaan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Beliau pernah membangunkan semula Jabatan Kesihatan Detroit selepas bandar raya itu mengalami kebankrapan, sebelum menerajui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kemanusiaan dan Veteran Wayne County yang menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 1.8 juta penduduk.
Sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif kesihatan awam, termasuk memperkenalkan program penyediaan cermin mata percuma kepada kanak-kanak, menangani pencemaran plumbum di sekolah serta memperluas akses kepada Narcan, iaitu ubat yang digunakan untuk merawat kes masalah dos opioid berlebihan.

Selain itu, beliau turut mengambil tindakan terhadap syarikat yang mencemarkan alam sekitar sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan penduduk.
Abdul juga pernah memperkenalkan program yang menyasarkan penghapusan hutang perubatan penduduk Wayne County bernilai sehingga AS$700 juta, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka yang berdepan kos rawatan tinggi.
Latar belakang keluarga dan pendidikan
Abdul dibesarkan oleh bapanya, Mohamed, seorang imigran dari Mesir, bersama ibu tirinya, Jackie.
Keluarga Jackie pula telah menetap di Gratiot County, Michigan, sejak tahun 1800-an.
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah awam dan aktif dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah menengah.
Malah, Abdul pernah menjadi kapten bagi tiga pasukan sukan sekolahnya, iaitu bola sepak Amerika, gusti dan lakros.
Selepas tamat persekolahan, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Michigan dan berjaya menamatkan pengajiannya dengan pencapaian akademik tertinggi.
Sepanjang berada di universiti tersebut, beliau turut mewakili pasukan lakros lelaki universiti berkenaan yang dikenali sebagai Wolverines.
Kecemerlangan akademiknya tidak terhenti di situ apabila Abdul kemudian memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Columbia menerusi program biasiswa penyelidikan yang dibiayai oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH).
Beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dan memperoleh ijazah kedoktoran kedua sebagai penerima Biasiswa Rhodes, iaitu salah satu biasiswa antarabangsa yang berprestij.
Dari segi kehidupan peribadi, Abdul kini menetap di Ann Arbor bersama isterinya, Sarah, dan dua anak perempuan mereka, Emmalee dan Serene.

Aktif memperjuangkan penambahbaikan sistem kesihatan AS
Selain pengalaman dalam pentadbiran kesihatan awam, Abdul turut dikenali sebagai individu yang aktif memperjuangkan penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan di AS.
Beliau merupakan penulis buku Medicare for All: A Citizen’s Guide yang menerangkan bagaimana sebuah sistem penjagaan kesihatan boleh dibangunkan bagi menjamin akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi pada kos berpatutan untuk semua rakyat Amerika.
Pada 2020, beliau dipilih untuk menganggotai Pasukan Petugas Perpaduan Presiden Joe Biden bagi Penjagaan Kesihatan.


Menerusi penglibatan tersebut, Abdul membantu merangka cadangan dasar penjagaan kesihatan, termasuk usaha mengurangkan harga ubat preskripsi di negara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau juga pernah menganggotai beberapa kesatuan sekerja, termasuk AFT Local 477 dan 6244, SEIU Local 500, National Writers Union serta Persatuan Profesor Universiti Amerika (AAUP).
Kemenangan Abdul dalam pilihan raya Senat Michigan bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam perjalanan politiknya, malah mencatat sejarah baharu dalam landskap politik Amerika Syarikat apabila beliau menjadi individu beragama Islam pertama dipilih ke Senat negara itu.
