Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buruh Mengaku Bersalah Ceroboh, Simbah Cecair Busuk Dalam Masjid

Simbah cecair busuk dalam masjid
Kredit: Bernama

PASIR MAS, 22 Okt (Bernama) -- Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menceroboh dan mencemarkan Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Tumpat dengan menyimbah cecair berbau busuk, awal bulan ini.

Pengakuan tertuduh, 38, direkodkan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Dia didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet masjid dengan menyimbah cecair berbau busuk dengan mengetahui perbuatan itu suatu keaiban kepada penganut agama Islam di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Tumpat pada 4.35 pagi 5 Okt.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia didakwa menceroboh masuk ke dalam masjid itu dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang pada waktu dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Noor Suhadah Mohamed Ripim.

Nik Zharifah Insyirah mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan namun Noor Suhadah merayu kadar minimum diberikan memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 23 Nov untuk tarikh jatuh hukum.

Sementara itu, tertuduh juga didakwa memasukkan dadah jenis metamfetamina ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat pada 1 pagi 17 Okt.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dan menetapkan sebutan semula pada 20 Jan 2027 untuk laporan kimia.