Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bukan Sebab Cerewet, Kajian Pakar Jepun Dedah Punca Kucing Memilih Makanan
Sikap memilih makanan dalam kalangan kucing bukan semata-mata disebabkan sifat cerewet, sebaliknya lebih berkait rapat dengan deria bau mereka, lapor Kyodo News.
Kajian baharu oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Iwate mendapati bahawa apabila kucing diberikan makanan yang sama secara berulang kali, jumlah makanan yang dimakan akan berkurang secara beransur-ansur.
Namun begitu, selera makan mereka didapati meningkat semula apabila bau makanan diubah, walaupun jenis makanan kekal sama.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa Physiology and Behavior pada edisi 1 April itu menekankan peranan isyarat olfaktori (bau) dalam membentuk tabiat pemakanan kucing.
Difahamkan, kajian itu turut berpotensi membantu meningkatkan penjagaan kucing tua atau sakit yang mengalami penurunan selera makan, selain menyumbang kepada pembangunan makanan haiwan peliharaan yang lebih baik.
Secara umum, kucing lazimnya makan dalam kuantiti kecil beberapa kali sehari dan sering meninggalkan sisa makanan.
Jadi, tingkah laku ini selama ini dikaitkan dengan mood atau naluri, namun mekanisme sebenar di sebaliknya masih belum jelas.
“Penyelidikan kami memberikan jawapan kepada persoalan yang sering ditanya oleh pemilik kucing,” kata Profesor Biologi Molekul dan Sel, Masao Miyazaki yang mengetuai kajian tersebut.
Dalam eksperimen itu, 12 ekor kucing diberi makan sebanyak enam kali pada selang masa tetap, dengan rehat 10 minit antara setiap sesi.

Apabila makanan yang sama diberikan secara berulang, jumlah pengambilan menunjukkan penurunan yang konsisten.
Bagaimanapun, apabila makanan berbeza diberikan pada sesi keenam, pengambilan makanan didapati meningkat semula.
Kesan pemulihan yang sama turut diperhatikan apabila bau baharu ditambah pada makanan yang sama pada sesi terakhir.
Pasukan penyelidik turut mendapati bahawa pendedahan berterusan kepada bau yang sama antara waktu makan mengurangkan jumlah makanan yang diambil, manakala bau yang berbeza membantu mengekalkan pengambilan yang lebih tinggi.
Mereka merumuskan bahawa pola pemakanan kucing bukan sahaja dipengaruhi oleh rasa kenyang, tetapi juga oleh 'pembiasaan olfaktori', iaitu keadaan apabila sensitiviti terhadap bau yang berulang semakin berkurang.

Selain itu, turut dikenal pasti ialah fenomena 'ketidakbiasaan semula', iaitu keadaan apabila minat makan kembali meningkat selepas rangsangan baharu diperkenalkan.
"Mempelbagaikan makanan dengan bau yang berbeza boleh membantu menggalakkan kucing makan
“Kami berharap dapatan ini dapat menyumbang kepada hubungan yang lebih baik antara kucing dan pemiliknya," kata Miyazaki lagi seperti yang dilaporkan dalam Kyodo News.