Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bukan Emas, Bunga Atau Coklat, 61.8 Peratus Ibu Hanya Mahu Hadiah ‘Kecil’ Ini Dari Anak Sempena Hari Ibu
Setiap kali tiba Hari Ibu, pasti bangkit dalam diri kita sebagai anak akan satu perasaan untuk membahagiakan insan keramat, sosok bergelar bonda.
Pelbagai cara yang kreatif dan sarat dengan pelbagai kejutan terlintas di minda, semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk membahagiakan insan yang paling kita cintai ini.
Ada yang memilih memberi hadiah berbentuk kebendaan. Bagi yang lebih berkemampuan, mungkin akan memilih untuk meluangkan masa berkualiti dengan bercuti ke destinasi percutian ibu masing-masing.
Paling tidak pun, memadai untuk kita mengambil alih tanggungjawab mereka buat seketika dan memberi ruang untuk sang ibu berehat secukupnya.

Hakikatnya, setiap anak akan berusaha memberikan hadiah paling bermakna untuk ibu tersayang, sesuai dengan kemampuan masing-masing.
Namun kadang-kala kita alpa, sebenarnya ada kebahagian lain yang lebih bermakna yang dicari oleh ibu dalam hidup ini.
Seringkali, bukan hadiah mahal atau percutian mewah yang mereka dambakan.
Tetapi cukup sekadar satu peluang atau satu sentuhan bersifat peribadi ini yang apabila dilakukan oleh anak-anak, akan menjadi memori terindah kepada si ibu.
Menurut statistik oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui tinjauan yang dilakukan pada tahun 2025, sebanyak 61.8 peratus daripada 2,032 ibu sebenarnya memilih peluang untuk makan di luar dan meluangkan masa berkualiti bersama anak sebagai bentuk penghargaan paling mereka impikan sempena Hari Ibu.
Detik kebersamaan ini, walaupun cuma sekali-sekala dan bersifat seketika, memberi peluang untuk mereka sekali lagi ‘bersama’ dengan anak-anak yang sudah dewasa dan sibuk dengan kehidupan peribadi masing-masing selama ini.

Peluang untuk menatap wajah anak-anak dalam ruang bersifat peribadi ini pasti menerbitkan perasaan bangga dalam diri dan mengukir senyuman pada wajah si ibu.
Anak-anak perlu sedar, kebahagian ibu pada dasarnya seringkali berkisar tentang kesejahteraan zuriat yang ditatang bagai minyak yang penuh selama hidup mereka.
Perkara ini dapat disandarkan kepada satu lagi statistik oleh LPPKN yang sangat menyentuh hati dimana 80.4 peratus ibu melihat anak membesar dengan sihat dan bahagia sebagai perkara yang paling membahagiakan dalam hidup mereka.
Ia bukan sekadar data, tetapi hakikat bahawa seorang ibu itu tidak akan sama sekali meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada perihal anak-anak.
Ibu ibarat pemandu dalam sebuah kenderaan bernama keluarga. Merekalah yang mengawal perjalanan supaya keluarga selamat tiba di destinasi yang hendak dituju dalam hidup ini.
Apa yang boleh kita lakukan sebagai anak adalah turut menunjukkan kasih sayang kepada ibu-ibu melalui tindakan, bukan sekadar melalui ucapan semata-mata.
Sempena ulang tahun ke-60, LPPKN telah menganjurkan sambutan Hari Ibu peringkat kebangsaan pada 10 Mei 2026 di Dewan Tun Hussein On yang mengangkat tema “Seteguh KASIH Ibu”.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap usaha memperkasa dan memartabatkan wanita serta keluarga di negara ini.
Program dan inisiatif ini menerapkan konsep KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat, Selamat dan Harmoni yang sinonim dengan seorang ibu.
Tema “Seteguh KASIH Ibu” juga dipilih bagi menonjolkan kekuatan, ketabahan dan pengorbanan seorang ibu dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan masa kini seperti membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dengan menguruskan keluarga.

Semasa sambutan ini, LPPKN juga akan menyampaikan satu anugerah khas iaitu Anugerah Khas Inspirasi Ibu sebagai penghargaan kepada wanita yang berjuang mendapatkan zuriat dan sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
Namun sebagai anak yang bertanggungjawab, penghargaan perlu diberikan kepada ibu tanpa had dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja.
Ringankan mulut untuk mengungkap rasa cinta “Saya sayang mak” setiap masa, satu bentuk penghargaan yang paling mudah untuk kita buat setiap hari.
Sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, LPPKN turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain.
Antaranya adalah Bantuan Rawatan Kesuburan & Advokasi Infertiliti, Perancang Keluarga, Rawatan Kesuburan Subfertiliti dan Saringan Kanser Reproduktif Wanita.
Untuk maklumat lanjut berkenaan semua perkhidmatan yang disediakan, boleh layari laman web dan Facebook LPPKN.