“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”
Demikian luahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan tragedi empat kanak-kanak yang lemas di Sungai Karangan, Kulim, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Saifuddin Nasution turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
Katanya, kejadian itu amat meruntun hati, lebih-lebih lagi apabila dua daripada mangsa merupakan adik-beradik.
“Berita pemergian empat kanak-kanak dalam kejadian lemas di Sungai Karangan, Kulim amat meruntun hati.
“Empat nyawa kecil pergi dalam satu tragedi yang pastinya meninggalkan kesedihan yang sangat mendalam buat keluarga mereka.
“Lebih memilukan, dua daripada mereka adik-beradik dan berdasarkan maklumat awal yang saya terima, bapa mereka warga kerja AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) Daerah Kuala Muda,” katanya.
Menurut beliau, pegawai Pusat Khidmatnya telah mewakilinya untuk menziarah serta menyantuni keluarga mangsa pada malam kejadian.
“Insya-Allah, kami akan terus bersama mereka dan menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan bagi meringankan urusan keluarga dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri merakamkan salam takziah kepada semua ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya.


