Sebuah beg bimbit hitam yang dibawa pegawai tentera laut Rusia mencuri perhatian dunia selepas perbualan spontan bersama wartawan televisyen.
Kejadian itu berlaku ketika pegawai berkenaan mengiringi Presiden Vladimir Putin ke sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China.
Seorang wartawan televisyen kerajaan Rusia kemudian menghampirinya sebelum bertanya sama ada beg bimbit itu mengandungi peralatan nuklear negara berkenaan.
“Ya,” jawab pegawai tersebut secara ringkas.

Beg bimbit dikenali sebagai Cheget itu merupakan sebahagian daripada sistem arahan nuklear Rusia yang membolehkan presiden menyampaikan arahan berkaitan senjata nuklear negara.
Rakaman disiarkan televisyen kerajaan Rusia itu turut mendapat perhatian CNN ketika Putin menghadiri sidang kemuncak tiga hala bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Pertemuan berkenaan turut membincangkan isu berkaitan senjata nuklear ketika ketegangan geopolitik terus menjadi perhatian antarabangsa.
Apa Fungsi Beg Bimbit Nuklear Putin?
Cheget merupakan terminal komunikasi mudah alih yang menghubungkan presiden Rusia dengan rangkaian kawalan dan arahan nuklear ketenteraan negara tersebut.
Nama Cheget diambil daripada Gunung Cheget yang terletak di kawasan pergunungan Caucasus, Rusia dan dibangunkan sejak era Kesatuan Soviet.
Sistem itu membolehkan kepimpinan negara berkomunikasi secara selamat dengan pasukan nuklear ketika berdepan situasi kecemasan.
Beg bimbit berkenaan turut dibawa ke mana sahaja Putin pergi, termasuk ketika beliau melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

Bolehkah Putin melancarkan peluru berpandu nuklear dengan menekan satu butang?
Jawapannya, tidak secara langsung.
Walaupun sering digambarkan sebagai butang nuklear, Cheget sebenarnya bukan alat yang boleh melancarkan peluru berpandu secara automatik.
Sebaliknya, peralatan itu membolehkan presiden menghantar dan mengesahkan arahan nuklear melalui rangkaian komunikasi ketenteraan yang dilindungi.
Arahan tersebut perlu melalui struktur pemerintahan tentera Rusia terlebih dahulu sebelum sampai kepada pasukan yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Bagaimanapun, prosedur sebenar berkaitan proses berkenaan masih diklasifikasikan sebagai maklumat sulit negara.
Rusia Ada Tiga Beg Bimbit Nuklear
Rusia dilaporkan mempunyai tiga terminal Cheget yang masing-masing diperuntukkan kepada presiden, menteri pertahanan dan ketua Staf Am.
Susunan tersebut bertujuan memastikan komunikasi serta pengesahan arahan berjalan dalam struktur pemerintahan nuklear negara.
Sesetengah penganalisis menyifatkannya sebagai sistem kelulusan tiga pihak, namun pakar masih berbeza pandangan mengenai keperluan penglibatan ketiga-tiganya.
Hal ini termasuk persoalan sama ada ketiga-tiga terminal perlu terlibat sebelum sesuatu arahan pelancaran nuklear diluluskan.
Siapa Yang Pegang Beg Bimbit Nuklear?
Cheget secara tradisinya dibawa pegawai tentera laut Rusia yang diberikan tugasan khas untuk sentiasa berada dekat dengan presiden.
Tanggungjawab pegawai berkenaan adalah memastikan sistem komunikasi tersebut sentiasa tersedia sepanjang perjalanan pemimpin Rusia itu.
Pada Disember 2025, satu laporan penyiasatan Dossier Center mendedahkan unit ketenteraan rahsia yang bertanggungjawab membawa beg bimbit tersebut.
Unit berkenaan turut mengendalikan komunikasi strategik yang berkaitan dengan sistem pertahanan nuklear Rusia.

