Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Beaver Supermoon Bakal Terangi Langit Malam Ini, Guna Telefon Pintar Sahaja Pun Boleh Tangkap Gambar Cantik

Beaver Supermoon Terangi Langit Malam Ini
Gambar Hiasan

Orang ramai termasuk di Malaysia berpeluang menyaksikan Beaver Supermoon malam ini, yang menjadi kemunculan pertama daripada tiga fenomena seumpamanya sehingga Januari 2027.

Iklan

Menurut laporan Agensi Berita Qazinform, fenomena kali ini turut menyaksikan Bulan muncul berhampiran gugusan bintang Pleiades.

Bulan dijangka mencapai fasa penuhnya pada 24 November, pukul 2.53 petang UTC atau 10.53 malam waktu Malaysia.

Supermoon berlaku apabila Bulan Penuh berada pada jarak paling dekat dengan Bumi sepanjang pergerakannya mengelilingi planet ini.

Disebabkan kedudukannya yang lebih hampir, Bulan boleh kelihatan lebih besar dan terang berbanding Bulan Penuh pada malam biasa.

Beaver Supermoon Bakal Terangi Langit Malaysia Malam Ini

Menurut NASA, Supermoon boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding Bulan Penuh paling malap.

Sementara itu, Bulan Penuh kali ini turut dipanggil sebagai Beaver Moon kerana pada waktu ini, memerang biasanya akan membuat persiapan menghadapi musim sejuk.

Memerang biasanya akan membina dan mengukuhkan sarang serta mengumpul makanan sebagai bekalan sepanjang musim sejuk.

Menariknya, Beaver Moon kali ini turut kelihatan berhampiran gugusan bintang Pleiades dalam buruj Taurus, yang turut dikenali sebagai Seven Sisters.

Kedudukan kedua-duanya menghasilkan pemandangan menarik di langit, namun cahaya Bulan yang terang mungkin menyukarkan bintang-bintang itu dilihat dengan mata kasar.

Penduduk Kazakhstan boleh menyaksikan fenomena tersebut sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, terutama ketika Bulan mula muncul di kaki langit.

Ahli astronomi menyarankan orang ramai melihat Bulan sejurus selepas ia terbit kerana kedudukannya ketika itu lebih hampir dengan ufuk.

Selepas November, Supermoon seterusnya dijangka muncul pada 24 Disember dan diramalkan menjadi Bulan Penuh paling besar sepanjang 2026.

Fenomena ketiga pula dijangka berlaku pada 22 Januari 2027, melengkapkan siri kemunculan Supermoon selama tiga bulan berturut-turut.

Tip Ambil Gambar Beaver Supermoon Guna Telefon Pintar

Nak ambil gambar Beaver Supermoon malam ini tetapi tak ada kamera canggih? Jangan risau, telefon pintar yang ada di tangan pun boleh digunakan untuk merakam pemandangan ini.

Cuma, ada beberapa perkara yang anda boleh cuba supaya gambar Bulan yang diambil tak nampak terlalu terang, kabur atau sekadar tompok putih.

Cari Lokasi Dan Masa Yang Sesuai

Kalau nak dapatkan gambar yang cantik, cuba cari tempat lapang yang membolehkan anda melihat Bulan tanpa terlindung bangunan atau pokok.

Waktu terbaik untuk mula mengambil gambar adalah sejurus Bulan terbit, biasanya sekitar matahari terbenam ketika Bulan masih kelihatan rendah di kaki langit.

Anda juga boleh menggunakan aplikasi melihat bintang untuk mengetahui arah Bulan akan muncul supaya tak perlu tercari-cari ketika berada di lokasi.

Sebelum mula mengambil gambar, cuba tukar tetapan kamera daripada mod automatik kepada 'Pro Mode' supaya anda boleh mengawal sendiri tahap cahaya dan fokus.

Pastikan Telefon Tak Bergoyang

Kalau tangan bergerak sedikit pun, gambar Bulan boleh jadi kabur, jadi pastikan telefon berada dalam keadaan stabil ketika mengambil gambar.

Lebih mudah jika anda mempunyai tripod telefon, tetapi kalau tiada, sandarkan sahaja telefon pada dinding, pagar atau beg yang kukuh.

Dah dapat sudut yang cantik? Jangan terus tekan skrin untuk mengambil gambar kerana sentuhan kecil pun boleh menyebabkan telefon bergerak.

Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan butang kelantangan pada fon telinga berwayar jika telefon menyokong fungsi tersebut.

Kalau ada alat kawalan kamera Bluetooth, gunakan sahaja supaya anda boleh mengambil gambar tanpa perlu menyentuh telefon.

Tak ada kedua-duanya? Tetapkan pemasa kamera selama dua atau tiga saat supaya telefon sempat kembali stabil sebelum gambar diambil.

Pemandangan Harvest Moon ini dirakam oleh Joseph Storer pada 26 September 2026 di Nottinghamshire, United Kingdom menggunakan telefon pintar iPhone 13 Pro. - BBC Sky At Night Magazine

Laraskan Cahaya Supaya Bulan Tak Nampak Putih

Pernah perasan gambar Bulan yang diambil menggunakan telefon kadangkala nampak seperti bulatan putih tanpa sebarang corak?

Ini berlaku bila kamera menerima terlalu banyak cahaya, menyebabkan permukaan Bulan kelihatan terlalu terang sehingga butirannya tidak dapat dilihat.

Untuk elakkan perkara itu terjadi, cuba gunakan mod manual dan tetapkan fokus dengan menekan imej Bulan pada skrin selama kira-kira dua saat.

Jika telefon anda menyokong fungsi 'AE/AF Lock', tanda tersebut akan muncul apabila fokus dan tetapan cahaya berjaya dikunci.

Kemudian, turunkan tahap kecerahan menggunakan ikon matahari pada skrin sehingga permukaan Bulan mula kelihatan dengan lebih jelas.

Cuba laraskan beberapa kali sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya, tanpa menjadikan Bulan terlalu gelap atau langit terlalu cerah.

Jika kamera mempunyai tetapan ISO, cuba gunakan nilai rendah sekitar 50 atau 100 untuk mengurangkan kesan cahaya berlebihan.

Anda juga boleh menggunakan kelajuan pengatup yang lebih tinggi bagi membantu merakam butiran pada permukaan Bulan.

Satu lagi perkara, jangan terus menggunakan zum maksimum kerana gambar mungkin kelihatan pecah atau kabur apabila dibesarkan terlalu banyak.

Sebagai permulaan, cuba zum tiga atau lima kali, bergantung pada kemampuan kamera telefon yang digunakan.

Kalau gambar masih kurang jelas, ambil sahaja gambar menggunakan zum lebih rendah sebelum memotong dan membesarkan bahagian Bulan melalui aplikasi seperti Photoshop atau GIMP.

Apa-apa pun, jangan terlalu sibuk mengejar gambar yang sempurna sehingga terlupa menikmati pemandangan Beaver Supermoon malam ini!

Intipati
  • Beaver Supermoon dijangka mencapai fasa penuh pada 10.53 malam waktu Malaysia.
  • Bulan kali ini turut kelihatan berhampiran gugusan bintang Pleiades dalam buruj Taurus.
  • Pengguna telefon pintar disaran menstabilkan peranti dan melaras cahaya sebelum mengambil gambar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan