Pernah muncul dalam filem Batman Returns pada 1992, sebuah Batmobile yang digunakan dalam filem arahan Tim Burton itu kini menjadi rebutan pengumpul barangan filem, namun bidaan tertinggi yang diterima masih belum cukup untuk membolehkan pemiliknya melepaskan kenderaan ikonik berkenaan.
Kereta berwarna hitam itu bukan sekadar replika biasa kerana ia merupakan satu daripada tiga buah Batmobile khas yang dibina untuk filem berkenaan.
Dikenali sebagai “Number One Hero Car”, kenderaan sepanjang hampir enam meter itu mempunyai dua sirip besar di bahagian belakang dan digunakan dalam kebanyakan babak pemanduan filem tersebut.
Selepas penggambaran selesai, kereta itu disimpan selama beberapa tahun sebelum dipamerkan di Muzium Automotif Marconi di Tustin, California.
Malah, Batmobile berkenaan masih mengekalkan cat asal, enjin Chevrolet V-8 serta sistem ekzos berapi yang boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh.
Sistem tersebut pernah digunakan oleh Batman lakonan Michael Keaton untuk membakar salah seorang pengikut Penguin yang bekerja dalam sarkas.
Disebabkan keunikan dan sejarahnya dalam dunia perfileman, rumah lelong Julien’s menganggarkan kenderaan itu mampu dijual pada harga antara AS$5 juta hingga AS$7 juta (sekitar RM20.9 juta hingga RM29.3 juta).
Batmobile Gagal Dijual

Bagaimanapun, harapan untuk melihat Batmobile itu mencatat rekod baharu tidak kesampaian apabila bidaan tertinggi yang diterima hanya mencecah AS$3.25 juta (kira-kira RM13.6 juta) dalam satu lelongan di Gardena, berhampiran Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pada Isnin.
Jumlah tersebut tidak mencapai harga minimum yang ditetapkan pemiliknya, menyebabkan kereta berkenaan gagal dijual.
Julien’s sebelum ini berharap jualan tersebut dapat mengatasi rekod lelongan Batmobile yang dicatatkan pada 2013 apabila kereta yang digunakan oleh Adam West dalam siri televisyen Batman pada 1960-an berjaya dijual pada harga AS$4.6 juta (kira-kira RM19.3 juta), termasuk bayaran tambahan.
Identiti pemilik Batmobile yang dilelong itu bagaimanapun dirahsiakan, manakala Julien’s belum memberikan sebarang maklum balas apabila dihubungi untuk mendapatkan komen pada Isnin.
Menurut Robert Thompson, profesor pemegang amanah dalam bidang televisyen dan budaya popular di Universiti Syracuse, lambakan filem serta siri adiwira dalam pelbagai versi mungkin menyebabkan barangan koleksi berkaitan watak berkenaan semakin hilang nilai eksklusifnya.
“Francais adiwira kini berkembang menjadi terlalu banyak versi sehingga saya rasa ia mungkin mengurangkan nilai eksklusif barangan koleksi berkaitan dengannya,” katanya.
Walaupun begitu, beliau melihat bidaan berjuta-juta dolar yang diterima Batmobile tersebut sebagai bukti bahawa kenderaan ikonik itu masih mempunyai nilai yang tinggi.
“Jika mengambil kira pelbagai faktor seperti watak Batman, versi Batman arahan Tim Burton dan kereta khusus ini yang merupakan salah satu daripada hanya tiga buah di dunia, harga yang ditawarkan jelas masih belum mencapai jumlah yang sanggup dibayar oleh pembida,” katanya.
Julien’s turut menjelaskan bahawa Batmobile itu tidak boleh dipandu di jalan raya seperti kenderaan biasa, malah enjin dan sistem transmisinya hanya diuji dalam jumlah terhad sejak penggambaran berakhir.
Selain itu, pembeli perlu mematuhi beberapa syarat menerusi perjanjian bersama Warner Bros. Consumer Products Inc., syarikat yang menguruskan hak harta intelek DC Comics.
Sebagai contoh, pemilik perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sekiranya mahu mempamerkan kereta itu dalam acara khas, selain memastikan kenderaan berkenaan “mesti kekal tidak bergerak ketika dipamerkan kepada orang ramai”.

