Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Baru Lepas Bersalin, Bisnes Pula Jatuh, Aimi Bangkit Bina Jenama Perabot Dengan 6 Cawangan

Aimi Bangkit

Bila melihat kejayaan seseorang, kita pasti membayangkan betapa beruntungnya hidup orang tersebut. Walhal kita tidak tahu apa yang dilalui oleh mereka di sebalik kejayaan yang dikecapi itu.

Iklan

Jatuh bangun, putus asa dan gagal berkali-kali menjadi fasa ‘wajib’ yang perlu dilalui oleh mereka sebelum berjaya dalam hidup. Tanpa kegagalan, kita tidak akan pernah tahu kemampuan diri dan apa yang perlu diperbaiki.

Justeru, hadapilah setiap fasa kegagalan dengan penuh tabah. Selepas itu bangkit semula dan yakinlah kita tidak akan gagal selama-lamanya. Satu pintu tertutup, beribu lagi pintu lain akan terbuka untuk kita.

Itulah yang menjadi pegangan Nurul Aimi Mohammad Kamil, 39, yang merupakan pemilik kedai perabot KayuHome.

Aimi yang berasal dari Kelantan pernah mengalami fasa kejatuhan dalam membina empayar bisnes tersebut, namun dia tidak patah semangat dan terus bangkit.

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kimia Gunaan dan Mikrobiologi dari UiTM Shah Alam, Aimi kini mempunyai enam cawangan kedai perabot iaitu di Bangi, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kubang Kerian.

Perjalanan mulakan perniagaan

Sebelum mengusahakan kedai perabot, Aimi mula menceburi bidang perniagaan selepas tamat pengajian pada tahun 2013 dengan mengeluarkan produk penjagaan wajah.

Dari situ, dia belajar mengenai selok-belok perniagaan dan apa yang perlu dihadapi apabila berdepan dengan cabaran dalam bidang tersebut.

“Saya pernah menjalankan perniagaan dalam bidang skincare melalui jenama Imanni Skinz, di bawah syarikat Imanni Legacy Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, perniagaan tersebut pernah berkembang daripada sebuah cawangan kepada tiga cawangan, iaitu Imanni Senawang, Imanni Ostia Bangi dan Imanni Tanah Merah.

“Pengalaman tersebut banyak mengajar saya tentang selok-belok dunia perniagaan, termasuk pemasaran, pengurusan pelanggan, pengurusan pekerja serta pengurusan operasi.

“Paling penting, saya belajar bagaimana untuk menghadapi turun naik dalam perniagaan. Pengalaman dan pembelajaran itulah yang kemudiannya menjadi asas kepada perjalanan saya dalam membina KayuHome,” katanya kepada SK.

Bagaimanapun, perniagaan itu tidak kekal lama apabila mengalami kemerosotan pada 2018. Ketika itu, ramai ejen mula meninggalkan perniagaan tersebut.

Menurutnya itu merupakan cabaran yang paling besar pernah dihadapinya kerana perlu bermula semula.

“Bagi saya, cabaran paling besar ialah apabila kita terpaksa bermula semula ketika kita pernah berada pada satu tahap yang lebih baik.

“Saya pernah melalui fasa di mana perniagaan jatuh sehingga saya terpaksa menutup kedai dan pulang ke kampung untuk tinggal bersama mak dan ayah. Pada masa yang sama, pasukan yang selama ini saya percaya juga meninggalkan saya.

“Itu merupakan antara fasa yang paling sukar dalam hidup saya. Saya pernah menangis hampir setiap hari kerana tidak tahu bagaimana untuk memulakan semula,” ujarnya.

Tambahan pula, ketika itu dia baru sahaja melahirkan anak ketiga secara pembedahan.

“Lebih mencabar, pada ketika itu saya baru sahaja bersalin. Dalam tempoh berpantang, saya masih perlu mencari supplier di luar negara kerana saya perlu mencari jalan untuk memastikan syarikat terus bertahan.

“Sedangkan orang lain mungkin sedang berehat selepas bersalin, saya pula terpaksa bekerja dan memikirkan bagaimana untuk membayar gaji pekerja, menanggung keluarga dan memastikan perniagaan terus berjalan.

“Perjalanan jauh ketika itu juga memberi kesan kepada keadaan fizikal saya kerana saya bersalin secara pembedahan dan masih dalam proses pemulihan. Tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan. Saya perlu kuat dan saya perlu terus mencari jalan,” kata Aimi.

Nekad cari jalan mulakan perniagaan baharu

Bila sudah berdepan dengan masalah itu, Aimi tentunya perlu membuat satu keputusan yang besar kerana dia perlu membayar gaji pekerja dan mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Aimi berkata dia juga perlu mencari sumber perniagaan baharu bagi memastikan kehidupan keluarga dan pekerja terus terjamin.

Selepas mengecilkan perniagaan penjagaan wajah daripada tiga hingga ke satu cawangan, dia kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan membuka kedai pertama KayuHome di Tanah Merah pada 2019.

Aimi menjelaskan bahawa pada peringkat awal, dia tidak terus menjual perabot tetapi bermula dengan menjual perkakasan dapur seperti periuk.

Menariknya Aimi dan pasukannya menghasilka produk sendiri yang dikenali sebagai Periuk Batu KayuHome. Hasilnya, ia berjaya dapat sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, melalui platform Facebook dan Shopee, kami berjaya menjual kira-kira 5,000 unit periuk.

“Selepas itu, kami mula membawa masuk perabot kayu pada harga yang lebih mampu milik. Namun pada awalnya, sambutan terhadap perabot tersebut tidak begitu menggalakkan.

“Kemudian pada tahun 2021, saya mula serius menggunakan TikTok sebagai platform pemasaran. Saya mula menghasilkan kandungan dan memperkenalkan produk-produk KayuHome kepada pelanggan melalui TikTok.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan. Dari sebuah cawangan, KayuHome berkembang sehingga mempunyai enam cawangan seperti hari ini,” katanya.

Dalam perjalanan itu juga, dia banyak melakukan solat hajat dan istikharah untuk memohon petunjuk dan dipermudahkan dalam membuat keputusan.

“Dari situlah semakin jelas hala tuju saya untuk membina KayuHome sebagai sebuah jenama perabot yang bukan sekadar menjual perabot, tetapi membantu pelanggan mendapatkan perabot yang cantik, berkualiti dan sesuai dengan konsep serta keperluan rumah mereka,” kata Aimi.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam industri perabot, Aimi percaya kita tidak semestinya perlu bermula sebagai seorang yang pakar dalam sesuatu bidang apabila melibatkan perniagaan.

Apa yang penting keberanian untuk bermula, kesungguhan untuk belajar dan kesediaan untuk mendapatkan ilmu itu perlu ada.

“Pengalaman saya dalam perniagaan sebelum ini banyak membantu saya dari segi pemasaran, pengurusan pelanggan, pengurusan pekerja dan operasi.

“Apabila saya masuk ke dalam industri perabot, saya mula belajar tentang material, reka bentuk, pengeluaran, kawalan kualiti dan kehendak pelanggan.

“Jadi, KayuHome sebenarnya dibina melalui satu proses yang berterusan belajar, mencuba, melakukan kesilapan, memperbaiki kelemahan dan terus berkembang.

“Sampai hari ini pun saya masih belajar dan sekarang saya tengah belajar Diploma teknousahawan reka bentuk dan pengeluaran perabot di TVET MARA, kerana saya percaya dalam dunia perniagaan, kita tidak pernah berhenti berkembang,” kongsinya.

Bertahan walau apa yang berlaku

Hari ini, KayuHome bukan lagi sekadar kedai perabot. Aimi berkata mereka kini bergerak ke arah perabot custom-made, reka bentuk dalaman dan pengeluaran sendiri.

Malah mereka juga menawarkan pelbagai jenis perabot termasuk perabot daripada material jati dan mahogany, selain reka bentuk perabot moden yang memenuhi keperluan dan citarasa pelanggan.

“Apabila melihat perjalanan KayuHome dari tahun 2019 sehingga sekarang, memang banyak perubahan yang telah berlaku.

“Kami bermula dengan sangat kecil, tetapi sedikit demi sedikit kami membina sebuah jenama yang lebih kukuh,” katanya lagi.

Mempunyai seramai 25 orang pekerja, Aimi menganggap mereka sebahagian daripada perjalanan KayuHome.

Disebabkan itu, dia tetap perlu bertahan walau apa sahaja yang berlaku dalam perniagaan itu.

Aimi merasakan tanggungjawab terbesarnya sebagai pengasas adalah memastikan syarikat terus berkembang. Hal ini sekaligus dapat menyediakan peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik untuk pasukannya.

“Saya percaya kepada rezeki, usaha dan proses. Saya sudah melalui fasa jatuh sebelum ini, jadi saya tahu bagaimana rasanya apabila kita kehilangan hampir segala-galanya.

“Tetapi hari ini, KayuHome bukan lagi hanya tentang diri saya. Saya mempunyai 25 orang pekerja yang turut bergantung kepada syarikat ini. Di belakang setiap seorang pekerja itu pula ada keluarga yang perlu mereka tanggung.

“Sebab itu saya sentiasa rasa bertanggungjawab untuk memastikan KayuHome terus berkembang dan mampu bertahan dalam jangka panjang. Selain itu, keluarga dan pelanggan juga menjadi antara sebab saya terus bergerak.

“Paling penting, saya percaya bahawa selagi kita masih mempunyai peluang untuk belajar, berubah dan memperbaiki diri, kita tidak boleh berhenti,” tambahnya.

Pengorbanan besar

Dalam masa yang sama, dia juga perlu membahagikan masa bersama keluarga dengan perniagaannya.

Selain itu, masa, tenaga, emosi dan keselesaannya juga dikorbankan bagi meraih kejayaan yang dikecapi hingga hari ini.

Itu merupakan antara perkara yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang luar. Bahkan di sebalik perniagaan perabot itu, banyak yang perlu diuruskan oleh Aimi dan pasukannya.

“Saya rasa apabila orang melihat perniagaan perabot dari luar, mereka nampak showroom yang cantik, produk yang tersusun dan pelanggan yang datang membeli. Tetapi di belakang semua itu, sebenarnya ada banyak perkara yang perlu kami uruskan.

“Kami perlu fikir tentang stok, pembekal, material, kualiti, pekerja, penghantaran, pemasangan, khidmat pelanggan, pemasaran dan aliran tunai. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan custom-made furniture. Setiap pelanggan mempunyai ukuran, reka bentuk dan keperluan yang berbeza.

“Satu kesilapan kecil dalam ukuran atau pengeluaran boleh memberi kesan kepada keseluruhan proses. Jadi cabaran sebenar bukan hanya menjual perabot.

“Cabaran sebenar adalah memastikan keseluruhan proses, daripada pelanggan membuat tempahan, proses pengeluaran, penghantaran sehinggalah pemasangan di rumah pelanggan berjalan dengan baik.

“Sebab itu kami kini bergerak ke arah mempunyai workshop dan kilang sendiri supaya kami dapat meningkatkan kawalan terhadap proses pengeluaran dan kualiti produk,” katanya.

Hargai maklum balas pelanggan

Sementara itu, bila ditanya mengenai pengalaman bersama pelanggan yang paling diingatinya, Aimi berkata banyak yang membekas di hati.

Paling membuatnya terharu apabila pelanggan berkongsi bahawa mereka sangat berpuas hati dengan hasil yang mereka dapat.

Di samping itu, ada pelanggan yang pada awalnya hanya datang untuk membeli satu perabot, tetapi akhirnya memberikan kepercayaan kepada untuk melengkapkan ruang rumah mereka.

“Bagi saya, itu sangat bermakna kerana kita bukan sekadar menjual sofa, meja atau kabinet. Kita sebenarnya menjadi sebahagian daripada ruang rumah dan kehidupan pelanggan.

“Apabila pelanggan berkongsi gambar rumah mereka yang telah siap dan memberitahu bahawa mereka berpuas hati dengan hasilnya, kepuasan itu bagi saya jauh lebih besar daripada sekadar nilai jualan,” jelasnya.

Pesanan bagi mulakan perniagaan

Di sebalik segala kejayaan yang dikecapi hari ini, Aimi turut menitipkan pesanan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan supaya tidak takut untuk bermula dan berdepan dengan kegagalan.

Menurutnya, setiap usahawan perlu sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbaiki kelemahan diri kerana perjalanan membina sesebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kalau saya boleh kembali kepada diri saya ketika baru mula berniaga, saya akan pesan, jangan takut untuk bermula, jangan takut untuk gagal dan jangan mudah menganggap bahawa kita sudah sampai.

“Saya akan katakan kepada diri saya, ‘Aimi, perjalanan ini mungkin panjang. Kau mungkin akan jatuh banyak kali. Tetapi jangan berhenti.’

“Saya juga akan pesan supaya dari awal saya lebih banyak belajar tentang pengurusan kewangan, sistem, pengurusan pasukan dan aliran tunai kerana membina perniagaan bukan sekadar tentang mendapatkan jualan,” katanya.

Dalam pada itu, Aimi turut mengingatkan agar hubungan dengan Allah sentiasa dijaga dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan ujian hidup.

Mengimbau kembali perjalanannya, Aimi sendiri tidak pernah menyangka bahawa kegagalan yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu akhirnya membuka jalan untuk membina sebuah jenama perabot yang mempunyai enam cawangan dan 25 orang pekerja.

Baginya, setiap orang mungkin tidak mampu mengawal segala perkara yang berlaku dalam kehidupan, namun mereka sentiasa mempunyai pilihan untuk bangkit dan mencuba sekali lagi.

“Kita mungkin tidak mampu mengawal apa yang berlaku kepada kita, tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bangun dan mencuba sekali lagi.

“Bagi saya, itulah makna sebenar sebuah perjalanan dalam membina perniagaan,” ujarnya.

Kisah Aimi membuktikan bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik permulaan kepada sesuatu yang lebih baik, asalkan kita tidak berhenti berusaha dan berani untuk bangkit semula.

Intipati
  • Nurul Aimi membina KayuHome selepas perniagaan penjagaan wajahnya merosot pada 2018.
  • KayuHome bermula di Tanah Merah pada 2019 sebelum berkembang kepada enam cawangan.
  • Syarikat itu kini mempunyai 25 pekerja dan bergerak ke arah perabot custom-made.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan