Selepas sekian lama menjadi perhatian ramai setiap kali persoalan mengenai kehidupan peribadinya dibangkitkan, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, akhirnya berkongsi berita yang cukup menggembirakan.
Hans, 55, mengumumkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang selepas wanita pilihan hatinya menerima lamaran untuk melangkah ke fasa baharu dalam hubungan mereka.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Hans menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Menerusi kapsyen yang ditulis, beliau meluahkan rasa teruja apabila insan kesayangannya bersetuju untuk menjadi teman hidupnya.
“Dia kata ya. Selamanya bersama insan kesayangan saya. Menuju alam keabadian bersamamu, bakal isteri Kayan/Iban saya. Keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia bersetuju.
“Dia kini kekal bersama saya. Tidak lagi... 'Hans bila nak kahwiinnnn?',” tulisnya.
Bakal Tamatkan Zaman Bujang, Francisca Luhong James Pilihan Hati Hans
Bakal tamatkan zaman bujangnya, wanita yang berjaya mencuri hati Hans ialah Francisca Luhong James, 31, anak kelahiran Kuching, Sarawak yang turut dikenali dalam dunia peragaan.
Francisca pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020 sebelum mewakili negara ke pertandingan Miss Universe pada tahun sama.
Francisca turut berkongsi semula hantaran istimewa Hans menerusi akaun Instagram miliknya, sekali gus mengundang perhatian pengikut yang tidak sabar meraikan berita gembira pasangan berkenaan.
Ruangan komen hantaran Hans juga dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang tumpang gembira melihat perkembangan baharu dalam kehidupan pelakon itu.
Menara Eiffel Menjadi Saksi Lamaran

Beberapa keping gambar yang dikongsikan Hans memperlihatkan suasana romantis di Paris, Perancis dengan Menara Eiffel menjadi latar kepada detik istimewa berkenaan.
Meskipun tidak memperincikan secara terperinci bagaimana lamaran itu berlangsung, perkongsian tersebut memberi gambaran bahawa Hans memilih lokasi cukup istimewa untuk mengajukan soalan penting kepada wanita kesayangannya.
Pemilihan Paris yang terkenal sebagai kota romantis pastinya menjadikan detik itu lebih bermakna buat pasangan itu.
Akhirnya Terjawab Persoalan Mengenai Jodoh
Walaupun tarikh perkahwinan masih belum dikongsikan, satu perkara sudah pasti mencuri perhatian iaitu keberanian Hans untuk mengumumkan secara terbuka bahawa dirinya sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan.
Selepas bertahun-tahun menjadi bahan usikan dengan soalan sama, nampaknya Hans tidak perlu lagi mencari jawapan untuk persoalan 'bila nak kahwin?'.
Kali ini, jawapannya sudah diberikan sendiri oleh wanita pilihan hatinya. Paling penting, jawapan itu hanya satu perkataan, ya.

