Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bagan Datuk dipilih lokasi sulung National Mosque Open Day, perkasa masjid sebagai tarikan pelancongan

MOSQUE
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Majlis Perasmian National Mosque Open Day di Bagan Datuk hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Daerah Bagan Datuk dipilih sebagai lokasi penganjuran sulung National Mosque Open Day (NMOD) 2026 di peringkat kebangsaan, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan masjid sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar mengetengahkan keindahan seni bina masjid, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali sejarah, budaya serta nilai Islam dengan lebih dekat.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian National Mosque Open Day di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan), Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun (kiri) ketika ucapan perasmian. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Teks ucapan Timbalan Perdana Menteri hari ini telah dibacakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menurut Ahmad Zahid, masjid tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai institusi yang menyatukan masyarakat, membentuk tamadun serta menjadi ruang untuk menyampaikan nilai Islam menerusi pendekatan yang harmoni.

“Kehebatan sebuah masjid tidak pernah diukur pada kubah yang tersergam indah atau seni binanya yang memukau, sebaliknya nilai sebenar sebuah masjid terletak pada sejauh mana ia berjaya diimarahkan, menyatukan masyarakat serta membentuk sebuah tamadun yang berteraskan ilmu, akhlak dan ihsan,” katanya.

Jelasnya, perkembangan sektor pelancongan kini menunjukkan pelancong bukan sekadar mencari tempat menarik untuk dikunjungi, tetapi turut mahu mengenali sejarah, memahami budaya dan merasai kehidupan masyarakat setempat.

Katanya, keadaan itu membuka peluang kepada Malaysia untuk mengetengahkan keindahan Islam menerusi akhlak dan layanan masyarakat kepada pengunjung.

“Apabila masyarakat sama ada Muslim mahupun bukan Muslim diberi peluang mendekati institusi masjid dalam suasana terbuka dan harmoni, di situlah lahirnya dakwah bil hal kerana keindahan Islam mudah difahami melalui akhlak, adab dan layanan yang kita tunjukkan,” ujarnya.

Bagan Datuk lokasi sulung NMOD

Ahmad Zahid berkata, sebagai anak jati Parlimen Bagan Datuk, beliau amat bersyukur apabila daerah berkenaan dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran NMOD di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, inisiatif itu diharap menjadi titik permulaan kepada penganjuran program sama di lebih banyak masjid di seluruh negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada ITC atas inisiatif yang cukup bermakna ini. Semoga ia menjadi titik mula yang baik dan selepas ini diperluaskan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, usaha memakmurkan masjid pada masa sama mencerminkan usaha membangunkan masyarakat kerana sejak lebih 1,400 tahun lalu, masjid telah menjadi institusi penting dalam pembangunan ummah.

Katanya, masjid pada zaman Rasulullah SAW bukan sahaja menjadi tempat mendirikan solat, malah menjadi pusat ilmu, syura, kebajikan dan ta’awun yang membentuk masyarakat saling membantu serta bersatu menghadapi cabaran.

“Kehebatan sesebuah masjid tidak hanya diukur pada keindahan seni bina atau keluasan ruang solat. Ukuran sebenar ialah sejauh mana masjid itu berjaya diimarahkan dengan ilmu, diperkukuh dengan ukhuwah serta menjadi tempat masyarakat mencari bantuan dan harapan,” jelasnya.

Masjid Tuminah Hamidi bakal masjid pelancongan ke-98

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk bakal disenaraikan sebagai masjid pelancongan ke-98 di Malaysia.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan potensi besar masjid sebagai salah satu komponen dalam ekosistem pelancongan negara, khususnya bagi pelancongan mesra Muslim.

Katanya, masjid boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan pelancong untuk mengenali sejarah, budaya dan ketamadunan Islam di Malaysia.

“Apabila mereka pulang, biarlah yang dibawa pulang bukan hanya gambar keindahan masjid, tetapi juga pengalaman tentang keramahan masyarakat dan nilai Islam yang mereka temui di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, NMOD mempunyai nilai besar kerana membuka ruang kepada masjid untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan negara, selain terus berfungsi sebagai tempat ibadah, pusat komuniti dan institusi yang mendekatkan masyarakat kepada Islam.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak semua orang mengenali Islam melalui buku atau pendidikan formal, sebaliknya ada yang mengenalinya menerusi pertemuan dengan individu Muslim atau ketika melangkah masuk ke sebuah masjid.

“Setiap kunjungan membawa satu peluang untuk kita membuka ruang kepada mereka melihat, bertanya dan memahami Islam dengan lebih dekat.

“Apabila kita membuka pintu masjid kepada orang luar, kita sebenarnya sedang membuka ruang untuk mereka mengenali Islam dengan lebih dekat, mengurangkan jurang persepsi dan perbezaan kefahaman,” ujarnya.

Perkukuh pelancongan mesra Muslim

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, kekuatan ekosistem halal Malaysia perlu terus diperkukuh termasuk dalam sektor hospitaliti, pelancongan dan perkhidmatan.

Menurutnya, keselesaan ketika mengembara amat berkait dengan keyakinan pelancong Muslim bahawa keperluan agama mereka dapat dipenuhi, termasuk kemudahan mendapatkan makanan halal dan ruang untuk beribadah.

Katanya, eksport halal Malaysia pada 2025 mencecah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menyumbang 4.3 peratus kepada keseluruhan eksport negara.

“Angka ini menunjukkan bahawa halal telah berkembang menjadi salah satu kekuatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Pelancongan Islam (ITC) turut memainkan peranan dalam memperkukuh ekosistem Pelancongan Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism) dan hospitaliti melalui pembangunan standard, latihan serta pengiktirafan industri.

Tambahnya, Malaysia turut dinobatkan sebagai Top Muslim-Friendly Destination oleh CrescentRating dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026, sekali gus meneruskan kecemerlangan negara untuk tahun ke-11 berturut-turut.

Ahmad Zahid berkata, kedudukan berkenaan perlu terus diperkukuh dan institusi masjid mempunyai peranan besar dalam memastikan pengalaman pelancong yang datang ke Malaysia bukan sekadar tertumpu kepada keindahan destinasi, tetapi turut merasai keramahan masyarakat serta nilai Islam.

Bagan Datuk sebagai pintu pelancongan Islam

Dalam pada itu, beliau berharap usaha yang bermula di Bagan Datuk menerusi NMOD dapat diperluaskan ke seluruh negara dengan lebih banyak masjid membuka pintu kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, pendekatan berkenaan mampu memperkukuh hubungan sesama masyarakat selain menjadikan masjid sebahagian daripada warisan dan pengalaman pelancongan di Malaysia.

“Kadang-kadang satu pertemuan yang baik mampu mengubah persepsi yang telah terbenam bertahun-tahun. Sebab itu saya mahu lebih banyak masjid menjadi ruang yang terbuka untuk masyarakat mengenali Islam dengan suasana penuh adab dan saling menghormati,” katanya.

Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan; Ahli Lembaga Pemegang Amanah ITC, Datuk Muzammil Mohamad selaku Pengurus Wilayah ASEAN, Qatar Airways; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Mohd Faizal Md Kasim serta Pegawai Daerah Bagan Datuk.

Intipati
  • Bagan Datuk dipilih lokasi sulung National Mosque Open Day 2026 di peringkat kebangsaan.
  • Ahmad Zahid berkata masjid berperanan menyatukan masyarakat serta memperkenalkan nilai Islam secara harmoni.
  • Masjid Tuminah Hamidi bakal disenaraikan sebagai masjid pelancongan ke-98 di Malaysia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan