Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kalau sebut Bagan Datuk, perkara pertama yang terlintas di fikiran mungkin kelapa.
Namun, daerah di selatan Perak itu sebenarnya menyimpan pelbagai tarikan unik yang mungkin belum diketahui ramai.
Daripada fenomena alam yang menghasilkan cahaya biru pada waktu malam, permukaan air seakan-akan cermin gergasi, aksi helang menyambar makanan hinggalah taman bunga matahari, Bagan Datuk mempunyai pelbagai pilihan untuk diterokai.
Lebih menarik, Masjid Tuminah Hamidi turut menjadi lokasi penganjuran National Mosque Open Day (NMOD) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos 2026.
Menurut Islamic Tourism Centre (ITC) dalam satu siaran media, penganjuran NMOD itu membuka peluang kepada orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali keindahan seni bina masjid, memahami peranan masjid sebagai pusat komuniti serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Jadi, kalau anda merancang ke NMOD, apa kata panjangkan sedikit perjalanan untuk meneroka beberapa tarikan menarik di Bagan Datuk.
1. Blue Tears, sungai bercahaya pada waktu malam
Pernah terbayang melihat permukaan air bercahaya biru pada waktu malam?
Fenomena Blue Tears atau air mata biru berlaku apabila organisma laut mikroskopik dikenali sebagai dinoflagelat menghasilkan cahaya melalui proses bioluminesens apabila air terganggu.
Pergerakan ombak, bot atau manusia di dalam air boleh mencetuskan cahaya biru tersebut, sekali gus menghasilkan pemandangan yang cukup memukau.
2. Bergambar di ‘Sky Mirror’ Bagan Datuk
Tidak perlu ke luar negara untuk mencari pengalaman seakan-akan berdiri di atas cermin.
Bagan Datuk turut mempunyai fenomena Sky Mirror, apabila permukaan air yang tenang ketika air laut surut menghasilkan pantulan langit sehingga kelihatan seperti cermin gergasi.
Fenomena ini bergantung kepada keadaan air pasang surut dan waktu tertentu dalam kitaran bulan, menjadikannya pengalaman yang perlu dirancang terlebih dahulu.
3. Saksikan helang menyambar makanan
Kalau mahu pengalaman yang lebih dekat dengan alam semula jadi, Sungai Burung antara lokasi yang boleh dimasukkan dalam itinerari.
Pengunjung berpeluang menyaksikan puluhan ekor helang berterbangan dan menyambar makanan di kawasan muara Selat Melaka, khususnya pada waktu petang.
Aksi pantas burung pemangsa itu dari udara pastinya menjadi pengalaman menarik, terutama buat peminat fotografi alam semula jadi.
4. Hamparan bunga matahari jadi lokasi bergambar
Siapa sangka daerah yang sinonim dengan kelapa ini turut mempunyai tarikan berupa hamparan bunga matahari?
Bunga berwarna kuning yang mekar menceriakan pemandangan dan menjadi latar menarik untuk bergambar bersama keluarga atau rakan-rakan.
5. Kenali sejarah Bagan Datuk sebagai ‘Tanah Kelapa’
Gelaran ‘Tanah Kelapa’ bukan sekadar nama.
Bagan Datuk pernah menjadi antara kawasan penting dalam pengeluaran kelapa dan berkembang sebagai pusat perdagangan serta pelabuhan yang menghubungkan hasil tempatan dengan pasaran luar pada awal abad ke-20.
Warisan industri kelapa itu terus mempunyai tempat di Bagan Datuk menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan berkaitan tanaman berkenaan.
6. Cuba pengalaman agropelancongan koko
Selain kelapa, Bagan Datuk juga menawarkan pengalaman berkaitan agropelancongan koko.
Pengunjung boleh mengenali dengan lebih dekat proses penanaman serta penghasilan produk koko menerusi program yang dikendalikan Lembaga Koko Malaysia Bagan Datuk.
Konsep Cocoa Tour and Education turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami industri koko sambil mengenali hasil tempatan.
7. Singgah Masjid Tuminah Hamidi dan NMOD
Lengkapkan perjalanan dengan berkunjung ke Masjid Tuminah Hamidi, yang menjadi lokasi pertama penganjuran National Mosque Open Day (NMOD) di peringkat kebangsaan.
Berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos 2026 di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk, program ini membuka ruang kepada orang ramai untuk menikmati pengalaman berkaitan masjid, seni bina, budaya dan komuniti.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk:
Pertandingan azan
Pertandingan futsal
Demonstrasi khat
Aktiviti memanah
Pertandingan e-sukan
Mosque tour
Ceramah oleh Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Alhamid dan Ustaz Habib Najmuddin Othman Alkhered
Persembahan kumpulan qasidah
Bagan Datuk, kecil tetapi banyak cerita
Daripada fenomena alam yang unik, khazanah sejarah, agropelancongan hingga pengalaman berkaitan masjid, Bagan Datuk membuktikan daerah ini mempunyai lebih banyak untuk ditawarkan daripada sekadar industri kelapa.
Jadi, jika anda mencari destinasi hujung minggu yang menggabungkan alam semula jadi, sejarah, agro pelancongan dan pengalaman budaya, Bagan Datuk mungkin boleh dimasukkan dalam senarai.
Mana tahu, perjalanan kali ini bukan sahaja menghasilkan gambar cantik untuk media sosial, tetapi turut membawa pulang cerita menarik tentang sebuah daerah yang selama ini mungkin dipandang sebelah mata.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan