Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Beri Kesan Pada Jantung

Syamimi
BAGAIMANA

Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Beri Kesan Pada Jantung

Tekanan darah tinggi kerap kali tidak menunjukkan sebarang tanda amaran awal. Sebaliknya, ia hanya sekadar angka pada skrin kepada ramai orang. Namun, jika dibiarkan, ia boleh memberi kesan negatif yang berterusan kepada jantung dan saluran darah, serta meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Di Malaysia, hampir satu daripada tiga orang dewasa menghidapi hipertensi, namun masih ramai tidak menyedari masalah kesihatan mereka. “Silent killer” ini sering bermula tanpa sebarang gejala yang ketara dan membawa kepada kerosakan fungsi organ dalaman secara beransur.

Sempena Hari Hipertensi Sedunia, Dr Gary Lee Chin Keong, Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), memberi penekanan kepada kepentingan memahami tekanan darah tinggi, simptomnya dan impak kepada kesihatan kita, demi melindungi fungsi jantung. 

Bagaimana tekanan darah tinggi membebani jantung secara senyap

Jantung dan saluran darah berfungsi bersama dan membentuk sistem peredaran darah badan yang penting. Jantung bertindak sebagai pam dan saluran darah sebagai rangkaian untuk memastikan setiap sel-sel badan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Apabila tekanan darah kekal tinggi untuk satu masa yang lama, jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengedarkan darah ke seluruh badan. 

Dr Gary menerangkan, “Pada awalnya, jantung masih dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan ini. Akan tetapi, keadaan ini tidak memberi manfaat dalam jangka masa panjang. Tekanan darah tinggi yang berterusan menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya mengurangkan keupayaannya untuk mengepam darah dengan cekap.” 

Salah perubahan struktur jantung yang awal adalah penebalan dinding jantung, khususnya ventrikel kiri (left ventricular hypertrophy - LVH). Apabila dinding otot semakin menebal, ruang untuk diisi darah menjadi lebih kecil, dan jantung sendiri tidak dapat menerima bekalan oksigen yang mencukupi. Lama-kelamaan, jantung menjadi kurang fleksibel, dan akan mengalami kemerosotan dalam fungsinya.

Apa yang membuatkan LVH lebih membimbangkan, ianya boleh berlaku tanpa sebarang symptom yang ketara. Dalam kebanyakan kes, ia hanya dikesan melalui pemeriksaan seperti ekokardiogram yang membolehkan doktor meniliti struktur jantung secara mendalam. 

Mengapa simptom sering muncul terlalu lewat

Ramai penghidap hipertensi tidak sedar mereka mengalami kerosakan jantung sehingga sudah terlambat. Ini kerana mereka tidak mengalami symptom awal walaupun perubahan struktur sedang berlaku. Tambahan pula, jantung masih mampu bertahan dan menjalankan fungsinya.

Simptom seperti sakit dada, sesak nafas, dengupan jantung yang laju, pening atau pengsan sering dianggap berpunca daripada tekanan kehidupan, keletihan atau masalah penghadaman. Apabila keadaan bertambah tenat, simptom akan menjadi semakin ketara, di mana komplikasi mungkin sudah berada pada tahap serius.

Oleh itu, saringan kesihatan berkala amat penting walaupun tanpa adanya sebarang simptom. Tekanan darah tinggi yang berterusan akan meningkatkan lagi risiko kegagalan jantung, strok, serangan jantung, penyakit buah pinggang dan penyakit irama jantung. 

Dr Gary turut menjelaskan kaitan hipertensi dengan fibrilasi atrium. Hipertensi tidak berlaku secara sendirian. Kerap kali ia turut memberi kesan kepada pelbagai organ termasuk otak, buah pinggang dan saluran darah di seluruh badan,” 

Fibrilasi atrium adalah sejenis penyakit irama jantung, yang mengganggu aliran darah dan meningkatkan risiko pembentukan darah beku. Ini boleh menyebabkan strok yang merupakan salah satu punca kematian utama di Malaysia.

Peningkatan keadaan hipertensi di kalangan golongan muda

Dr Gary menjelaskan pada masa kini, terdapat peningkatan keadaan hipertensi dan penyakit jantung di kalangan golongan muda. Trend tersebut amat membimbangkan kerana ia memberi impak negatif kepada masyarakat tempatan dari pelbagai aspek. 

“Sekitar dua puluh tahun lalu, hipertensi sering dianggap sebagai masalah golongan berusia. Kini, saya merawat ramai pesakit yang hanya dalam lingkungan 20-an dan 30-an,” katanya. 

Gaya hidup moden menjadi penyumbang utama kepada hipertensi. Trend ini disebabkan oleh tekanan kehidupan di tempat kerja mahupun di rumah, kekurangan waktu tidur yang berkualiti, kekurangan aktiviti fizikal, tabiat merokok serta pengambilan garam berlebihan dalam pemakanan seharian.

Obesiti dan penyakit kencing manis turut meningkatkan risiko, yang disifatkan Dr Gary sebagai “gabungan berbahaya” dalam faktor risiko penyakit kardiovaskular. “Ramai rakyat Malaysia bukan sahaja menghidap hipertensi pada usia yang muda, malah terpaksa hidup dengan kesan penyakit tersebut untuk tempoh yang lebih lama. Ini turut meningkatkan kebarangkalian komplikasi berlaku pada usia yang muda,” jelas beliau. 

Saringan awal mampu mengubah tahap kesihatan anda

Berita baiknya, pengesanan awal mampu mengubah keadaan. Dr Gary menggalakkan rakyat Malaysia untuk mula mengenali dan mengambil berat bacaan tekanan darah mereka, seawal usia 20-an. 

Pemeriksaan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, kolesterol, gula dalam darah dan berat badan boleh membantu mengenal pasti risiko individu dengan lebih awal. Bergantung kepada profil risiko individu, doktor mungkin akan mencadangkan ujian lanjut seperti ECG, ekokardiografi dan imbasan CT jantung. 

Apabila hipertensi dikesan awal dan diikuti dengan rawatan yang efektif, perubahan struktur pada jantung boleh diperlahankan atau bahkan dipulihkan serta bertambah baik dengan masa. Ini biasanya melibatkan penggunaan ubat-ubatan, perubahan diet, senaman, kawalan berat badan, berhenti merokok, pengurusan tekanan kehidupan, serta pemeriksaan kesihatan berkala. Dr Gary menekankan bahawa pesakit tidak sepatutnya menghentikan ubat-ubatan tanpa berunding terlebih dahulu dengan doktor yang merawat.

Dr. Gary Lee Chin Keong

Kenali bacaan anda, lindungi jantung anda

Dr Gary menyeru agar orang ramai mula mengambil berat bacaan tekanan darah masing-masing dan bertindak awal. “Jangan menunggu kemunculan simptom-simptom sebelum menyedari masalah serius telah berlaku. Lebih awal anda mengesan keadaan tekanan darah tinggi, lebih tinggi peluang untuk melindungi jantung anda,” katanya.