Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bagaimana Golongan M40 Yang Terjejas Dapat Dibantu Dengan Belanjawan 2021?

Kredit gambar: Google

Pandemik COVID-19 yang menjarah hidup manusia pada ketika ini belum lagi menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir.

Bagi konteks rakyat di negara kita, semestinya semua kelas golongan daripada B40 sehinggalah T20 terjejas dengan impak wabak ini, khususnya daripada sudut ekonomi.

Untuk tempoh tiga bulan pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, sektor ekonomi mungkin boleh bertahan dan golongan pekerja kelas M40 masih lagi mampu bekerja seperti biasa.

Namun pandemik kini sudah berlarutan hampir setahun, banyak sektor ekonomi sudah lumpuh. Ada syarikat terpaksa dikecilkan operasinya, lebih malang lagi pekerja-pekerja terpaksa dibuang dan syarikat ditutup.

Sudah tentu golongan M40 ini terjejas, daripada berada di tahap selesa kini terpaksa turun ke tahap sukar yang menyamai kelas B40. Jadi ketika ini, apakah mereka masih ada peluang untuk teruskan hidup dengan bergantung pada bantuan kerajaan?

Belanjawan 2021 ialah jawapannya

Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov baru-baru ini merupakan peruntukan belanjawan paling terbesar dalam sejarah negara dengan kos mencapai RM322.5 bilion.

Berhubung cabaran ketika pandemik ini, pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan melalui bagi memastikan rakyat tidak terjejas dan ekonomi mampu ‘dipulihkan’ semula.

Memfokuskan kepada golongan kelas M40, kerajaan telah mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi keluarga kelas ini yang berpendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 sebulan.

RM500 akan diberikan bagi yang mempunyai seorang anak, manakala RM750 pula bagi dua orang anak atau lebih.

Selain itu, kerajaan turut menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu (1) mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 ke RM70,000. Kira-kira 1.4 juta pembayar cukai termasuk M40 akan merasai peluang ini.

Moratorium dilanjutkan lagi bagi golongan bersasar

Institusi perbankan juga telah menawarkan bantuan pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik kepada mana-mana individu yang telah hilang kerja, serta individu atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas pendapatannya akibat pandemik, termasuklah golongan M40 ini.

Dalam pada itu, institusi perbankan juga akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), BPR dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

Bagi peminjam golongan M40, proses bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan di mana peminjam perlu membuat pengisytiharaan kendiri (self-declaration) pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.

Pengeluaran KWSP

Sementara itu, golongan M40 boleh menarik nafas lega sekali lagi apabila kerajaan ‘mengizinkan’ untuk mereka membuat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar melalui program i-Sinar.

Seperti yang dinyatakan Kementerian Kewangan baru-baru ini, terdapat dua kategori pengeluaran yang tertakluk di bawah program ini, iaitu simpanan Akaun 1 bawah RM90,000 dan simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000.

Bagi kategori pemilik simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur-ansur selama enam bulan sehingga maksimum RM9,000 dengan keluaran pertama sehingga RM4,000, serta engeluaran bulanan seterusnya adalah maksimum RM1,000 sebulan.

Manakala bagi kategori pemilik simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000, ahli dibenarkan mengeluarkan secara ansuran selama enam bulan sehingga maksimum RM60,000 (tertakluk pada jumlah simpanan) dengan keluaran pertama sehingga RM10,000, serta pengeluaran bulanan seterusnya maksimum RM10,000 sebulan.

Dalam masa sama, pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP (i-Lestari) juga dibolehkan bagi ahli membeli produk perlindungan insuran, penyakit kritikal dan takaful hayat untuk diri dan ahli keluarga.

Inisiatif lain yang turut ditawarkan kerajaan ialah Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini memang menanggung mana-mana pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui pemberian Elaun Mencari Pekerjaan selama enam bulan.

Bagaimanapun pada 2021 nanti, tempoh pemberian elaun akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi. Kadar layak menuntut gaji pula adalah daripada 80 peratus gaji bagi bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam, seterusnya 30 peratus bagi tiga bulan terakhir.

Selain itu, had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan turut dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan.

Sinar baharu buat mereka yang hilang kerja

Bagi golongan M40 yang masih bertahan dalam industri, bantuan-bantuan yang dinyatakan tadi pasti boleh membantu mereka. Insya-Allah.

Namun bagi yang sudah diberhentikan atas faktor kelumpuhan syarikat, perniagaan, industri dan sebagainya, ada satu lagi alternatif lain buat mereka.

Mengimbas kembali, kadar penggangguran di negara ini berada dalam rekod membimbangkan apabila 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur dicatatkan sejak 10 tahun lalu.

Namun, sejak pandemik bermula, ia semakin meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei lalu, menjadikannya sebagai angka pengangguran tertinggi negara sejak 1989.

Sebagai penyelesaiannya, kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.7 bilion.

Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO melalui PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan, antaranya ialah insentif pekerja bergaji RM1,500 ke atas dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada OKU, pengganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

Selain itu, Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula turut dibangunkan kerajaan dengan kos menelan RM1 bilion.

Melalui inisiatif ini, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta.

Manakala MDEC pula akan mempermudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia bagi mengisi keperluan dalam industri ICT, selain pihak berkuasa pembangunan wilayah (IRDA dan SEDIA) turut akan melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja terjejas.

Dalam masa sama, 12,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut akan ditawarkan program latihan kemahiran dan keusahawanan.

50,000 peluang pekerjaan kontrak

Inisiatif Short-term Employment Programme (MySTEP) dengan peruntukan lebih RM700 juta pula akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula Januari 2021.

Daripada jumlah itu, 35,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam dengan keutamaan perjawatan seperti jururawat, pembantu perubatan, pegawai kebajikan masyarakat dan guru sementara.

Manakala 15,000 peluang pekerjaan lagi akan mengutamakan bidang teknikal dan kewangan, serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan.

Demikianlah antara bantuan-bantuan berskala besar yang bakal memberi manfaat kepada golongan M40 yang terjejas untuk jangka masa panjang.

Maka dengan ini, golongan M40 seharusnya perlu meyakini tindakan kerajaan dalam memulihkan semula ekonomi negara.

Mungkin anda boleh perhalusi semula bantuan-bantuan yang ditawarkan. Jangan risau, walaupun belum setaraf B40, namun anda juga ialah rakyat yang perlu dibela. Jangan terlepas hak anda.