Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Azmi Saat Kongsi Cara OKU Penglihatan Guna Media Sosial
Kumpulan Caliph Buskers merupakan sebuah kumpulan muzik tanah air yang tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia.
Ditubuhkan dengan barisan anggota yang terdiri daripada individu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, kumpulan ini berjaya membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang seni.
Dalam era digital, kebanyakan aktiviti menggunakan telefon pintar, namun perkara itulah yang sering menjadi tanya-tanya netizen terhadap penyanyi kumpulan itu, Azmi Saat memandangkan beliau buta penglihatan.
Baru-baru ini, penyanyi itu berkongsi cara OKU penglihatan menggunakan telefon pintar dalam kehidupan seharian.
Menerusi video yang dikongsikan @azmi_saat di Instagram, vokalis kumpulan Caliph Buskers berkongsi bagaimana insan istimewa sepertinya menaip, membaca komen serta membuat hantaran di media sosial.

Menurut Azmi, individu OKU penglihatan menggunakan fungsi aksesibiliti yang tersedia dalam telefon pintar untuk membantu mereka mengendalikan peranti.
Bagi pengguna Android, fungsi tersebut dikenali sebagai TalkBack manakala bagi pengguna iPhone pula ia dipanggil VoiceOver.
Dalam klip berkenaan, dia menunjukkan cara untuk mengaktifkan fungsi berkenaan melalui tetapan telefon di bahagian Accessibility sebelum menghidupkan VoiceOver.
Jelasnya, apabila fungsi itu diaktifkan, sistem akan membacakan nama aplikasi sekiranya skrin ditekan sekali, manakala pengguna perlu menekan dua kali untuk memasuki aplikasi yang dipilih.
Selain itu, Azmi turut memperlihatkan bagaimana sistem tersebut membaca perkataan ringkas serta cara dia melaraskan kelajuan bacaan VoiceOver mengikut keselesaan penggunaan.
Dalam video yang sama, Azmi turut menunjukkan cara membalas komen di Threads dengan menggunakan akaun dan hantaran miliknya sendiri.
Sebagai contoh, dia ingin membalas komen daripada pelakon Kamal Adli pada hantaran tersebut.
Menurutnya, untuk memberikan tanda suka pada komen, pengguna hanya perlu melakukan double tap pada skrin.
Namun, proses menaip agak mencabar kerana mereka perlu mencari setiap huruf satu persatu pada papan kekunci sambil mendengar panduan suara yang memaklumkan sama ada huruf tersebut huruf besar atau kecil.
Malah, Azmi turut dilihat sedikit bergelut ketika cuba menghantar balasan komen kerana gagal menemui butang hantar pada aplikasi Threads.

Dia mengakui Facebook lebih mesra pengguna OKU sepertinya berbanding kerana platform tersebut lebih mudah diakses.
Menerusi demonstrasi di Facebook, Azmi membalas komen dengan menggunakan kaedah braille.
"Apa yang korang tulis, komen dan suka, semua saya boleh tahu," ujarnya di hujung video.