Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Azam Baki Akan Dipanggil Bantu Siasatan Kes Ugutan Albert Tei

BERNAMA
Azam Baki
Kredit: Bernama

Azam Baki Akan Dipanggil Bantu Siasatan Kes Ugutan Albert Tei

KAJANG, 26 Mei (Bernama) --Polis akan memanggil bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 13 Mei lepas.

Beliau berkata setakat ini polis telah merakam keterangan dua individu iaitu Tei sendiri serta peguamnya yang didakwa menjadi perantara dalam penyampaian ugutan berkenaan.

“Keterangan Tei telah diambil pada minggu sama laporan polis dibuat, manakala keterangan peguamnya dirakam semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati ahli perniagaan itu mendakwa menerima ancaman serta ugutan daripada bekas ketua pesuruhjaya SPRM berkenaan ketika beliau cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah.

Sementara itu, Kumar berkata proses siasatan masih diteruskan secara telus dan polis memerlukan sedikit masa untuk melengkapkannya sebelum sebarang rumusan dibuat.

“Susulan itu, kita dijangka akan memanggil Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu kini di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan serta nasihat lanjut.