Penipuan dalam talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau tahap pengetahuan seseorang tentang teknologi. Dengan pelbagai helah yang semakin meyakinkan, sindiket penipuan menggunakan peluang pekerjaan, tawaran pelaburan, hadiah percuma dan hubungan peribadi untuk memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian wang.
Ada penipuan yang bermula dengan mesej ringkas, panggilan telefon atau iklan di media sosial. Pada awalnya, tawaran tersebut mungkin kelihatan menarik dan tidak mencurigakan. Namun, apabila mangsa mula mempercayai individu terbabit, mereka akan diminta membuat bayaran, memberikan maklumat perbankan atau memindahkan wang ke akaun tertentu.
Sehubungan itu, orang ramai perlu mengenali taktik yang sering digunakan supaya tidak mudah terpedaya. Menerusi perkongsian di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat tujuh modus operandi penipuan yang perlu diberikan perhatian khususnya ketika berurusan melalui telefon dan internet.
1. Tawaran pinjaman dalam talian
Tawaran pinjaman wang yang menjanjikan kelulusan pantas dan syarat mudah sering menarik perhatian individu yang memerlukan wang segera. Namun, orang ramai perlu berhati-hati jika pemberi pinjaman meminta bayaran pendahuluan sebelum wang disalurkan.
Antara alasan yang digunakan termasuk bayaran pemprosesan, deposit keselamatan atau caj membuka akaun. Selepas bayaran dibuat, mangsa mungkin diminta membayar caj tambahan sebelum pihak berkenaan akhirnya menghilangkan diri.
Sebelum menerima sebarang tawaran, semak kesahihan pemberi pinjaman melalui saluran rasmi. Jangan membuat pembayaran hanya berdasarkan iklan atau mesej daripada individu yang tidak dapat disahkan identitinya.
2. Tawaran kerja sambilan dan tugasan dalam talian
Peluang menjana pendapatan melalui telefon pintar semakin popular tetapi keadaan ini turut dimanipulasi oleh sindiket penipuan. Mereka mungkin menawarkan tugasan mudah seperti memberikan tanda suka, mengikuti akaun media sosial atau membuat ulasan produk dengan bayaran lumayan.
Pada peringkat awal, mangsa mungkin menerima komisen kecil bagi membina kepercayaan. Selepas itu, mereka diminta memasukkan wang sendiri untuk membuka tugasan baharu atau mendapatkan pulangan lebih tinggi.
Apabila jumlah wang yang dilaburkan semakin besar, mangsa mungkin tidak lagi dapat mengeluarkan wang tersebut. Oleh itu, berhati-hati dengan tawaran kerja yang memerlukan bayaran untuk mendapatkan pekerjaan atau menjanjikan pendapatan luar biasa bagi tugasan mudah.
3. Pelaburan dan perjudian dalam talian
Selain itu juga, janji keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat sering digunakan untuk menarik perhatian bakal mangsa. Ada pihak yang memaparkan testimoni, rekod keuntungan atau gambar individu kononnya berjaya bagi meyakinkan orang ramai supaya melabur.
Dalam sesetengah kes, mangsa mungkin menerima pulangan pada peringkat awal sebelum digalakkan menambah modal. Apabila mahu mengeluarkan wang, mereka diminta membayar caj tambahan atau mendapati akaun tidak lagi boleh diakses.
Tawaran perjudian dalam talian yang menjanjikan kemenangan mudah juga perlu dielakkan. Semak kesahihan pihak yang menawarkan pelaburan melalui saluran rasmi seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia mengikut jenis produk berkenaan.
Oleh itu, jangan membuat keputusan berdasarkan janji keuntungan semata-mata kerana setiap pelaburan mempunyai risiko.
4. Menyamar sebagai khidmat pelanggan atau wakil bank
Terdapat juga sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai bank atau wakil khidmat pelanggan dengan mendakwa terdapat masalah pada akaun, transaksi mencurigakan atau rekod kredit yang perlu diselesaikan segera.
Bagi meyakinkan mangsa, mereka mungkin menggunakan bahasa profesional dan memberikan arahan yang kelihatan munasabah. Mangsa kemudiannya diminta memindahkan wang, berkongsi kod pengesahan atau memberikan maklumat perbankan.
Jika menerima panggilan sedemikian, jangan terburu-buru mengikut arahan pemanggil. Tamatkan panggilan dan hubungi pihak bank menggunakan nombor rasmi yang tertera pada kad bank atau laman webnya.
Jangan sesekali berkongsi kata laluan perbankan atau kod OTP/TAC dengan individu lain walaupun mereka mendakwa mewakili institusi kewangan.
5. Tawaran hadiah, subsidi atau tiket percuma
Berita kononnya terpilih memenangi hadiah, menerima subsidi atau memperoleh tiket penerbangan percuma memang boleh menarik perhatian. Namun, tawaran seperti ini boleh menjadi umpan untuk mendapatkan wang dan maklumat peribadi mangsa.
Antara taktik yang digunakan ialah meminta bayaran pendahuluan bagi menebus hadiah atau mengarahkan mangsa mengisi maklumat melalui pautan tertentu. Ada juga yang menyamar sebagai wakil syarikat atau agensi bagi menjadikan tawaran tersebut kelihatan sah.
Sebelum membuat sebarang pembayaran atau memberikan maklumat, semak pengumuman melalui laman web dan akaun media sosial rasmi organisasi terbabit. Berwaspada jika diminta membayar wang untuk menerima hadiah yang tidak pernah dimohon.
6. Menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga
Antara lain, penipu juga boleh menggunakan identiti rakan atau ahli keluarga untuk meminta bantuan kewangan. Mereka mungkin menggunakan gambar profil individu sebenar atau mengambil alih akaun media sosial sebelum menghantar mesej yang mendakwa berlaku kecemasan.
Disebabkan mesej tersebut kelihatan datang daripada individu yang dikenali, mangsa mungkin terus memindahkan wang tanpa membuat pengesahan.
Jika menerima permintaan wang yang luar biasa, hubungi individu berkenaan melalui panggilan telefon atau saluran lain yang dipercayai. Pastikan identitinya disahkan terlebih dahulu terutama jika wang perlu dipindahkan ke akaun pihak ketiga.
Jangan biarkan rasa cemas menyebabkan anda membuat keputusan terburu-buru sehingga terjerat dengan penipuan.
7. Penipuan percintaan dalam talian
Antara taktik penipuan yang sering digunakan scammer ialah penipuan percintaan dalam talian, yang menyasarkan individu melalui media sosial atau aplikasi mencari pasangan. Penipu biasanya akan membina hubungan dan meraih kepercayaan mangsa terlebih dahulu sebelum mula meminta wang dengan pelbagai alasan.
Mereka mungkin mendakwa menghadapi masalah kewangan, memerlukan bantuan kecemasan atau tidak mempunyai wang untuk datang berjumpa. Ada juga yang mengajak mangsa menyertai pelaburan atau perjudian dengan alasan mahu membantu mereka memperoleh keuntungan.
Oleh sebab hubungan emosi sudah terbentuk, mangsa mungkin sanggup memberikan wang tanpa menyedari bahawa kisah yang diceritakan sebenarnya direka.
Jangan menghantar wang kepada individu yang belum disahkan identitinya walaupun hubungan kelihatan rapat. Berhati-hati jika individu tersebut kerap meminta wang, mengelak daripada membuat pengesahan identiti atau mendesak anda merahsiakan transaksi.
Ketujuh-tujuh modus operandi ini menunjukkan bahawa penipuan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada ketika mencari pekerjaan, memohon pinjaman, melabur atau menjalinkan hubungan melalui internet.
Antara tanda amaran yang perlu diperhatikan ialah janji keuntungan luar biasa, permintaan bayaran pendahuluan, desakan supaya bertindak segera dan arahan memindahkan wang ke akaun yang tidak dapat disahkan.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak kesahihan setiap tawaran melalui saluran rasmi serta tidak berkongsi maklumat perbankan dengan individu yang tidak dikenali. Elakkan juga menekan pautan mencurigakan atau memasang aplikasi daripada sumber yang tidak dipercayai.
Sekiranya mengesyaki sesuatu tawaran sebagai penipuan, hentikan komunikasi dan jangan membuat pembayaran lanjut.
Jika wang sudah dipindahkan, hubungi bank dengan segera dan laporkan kejadian kepada pihak polis. Mangsa juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dengan segera untuk mendapatkan panduan tindakan lanjut.
Kesimpulannya, sikap berhati-hati dan kesediaan menyemak maklumat sebelum bertindak merupakan langkah penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. Jangan mudah terpengaruh dengan janji manis atau tekanan daripada pihak lain. Sahkan identiti, fikir sebelum bertindak dan jangan pindahkan wang selagi kesahihan sesuatu urusan belum dipastikan.

