Pas bersedia menggunakan apa sahaja lambang parti gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, asalkan bukan Pakatan Harapan (PH) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara berkaitan penggunaan lambang bukan isu utama bagi parti itu.
“Lambang apa Perikatan Nasional (PN) hendak guna di PRN Melaka?
“Gunalah lambang apa pun, asalkan bukan lambang PH dan Bersatu sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen serta penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Terdahulu, notis berkenaan memberi peluang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dinyatakan sebelum keputusan pembatalan pendaftaran dibuat.

