Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Selasa bahawa beliau menghentikan operasi ketenteraan AS untuk mengiringi kapal melalui Selat Hormuz selepas hanya sehari dilaksanakan, dalam usaha mencapai perjanjian dengan Iran bagi menamatkan perang di Timur Tengah.
Project Freedom diperkenalkan Trump pada Isnin untuk membantu kapal keluar dari Selat Hormuz, laluan sempit strategik ke Teluk Parsi yang kini dikatakan dikuasai Iran susulan serangan terhadap negara itu.
Namun, pemimpin AS itu berkata di platform Truth Social bahawa operasi tersebut kini dihentikan sementara selepas permintaan daripada Pakistan selaku perantara serta beberapa negara lain, sambil memaklumkan bahawa kemajuan besar telah dicapai ke arah 'perjanjian lengkap dan muktamad' dengan Tehran.
“Kami telah bersetuju secara bersama bahawa, walaupun sekatan masih kekal berkuat kuasa sepenuhnya, Project Freedom akan dihentikan sementara untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu boleh dimuktamadkan dan ditandatangani,” kata Trump.
Ketegangan dilaporkan semakin memuncak susulan operasi di Hormuz itu, dengan Amerika Syarikat mendakwa telah menenggelamkan tujuh bot Iran, manakala beberapa kapal awam pula diserang, yang didakwa dilakukan oleh Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sebelum itu berkata bahawa AS telah menamatkan operasi offensive terhadap Iran yang dinamakan “Operation Epic Fury”.
Kenyataan Rubio itu mengulangi penjelasan yang diberikan kepada Kongres hampir sebulan selepas gencatan senjata rapuh dilaksanakan.
“Operasi itu sudah tamat, Epic Fury, seperti yang dimaklumkan presiden kepada Kongres. Kami sudah selesai dengan fasa itu,” katanya kepada pemberita di White House.

Menurut Rubio, pertempuran di Selat Hormuz bukan sebahagian daripada perang asal.
“Ini bukan operasi offensive, ini adalah operasi defensive dan maksudnya sangat mudah, tiada tembakan akan dilepaskan melainkan kami ditembak terlebih dahulu," katanya.
Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, mengorbankan pemimpin tertinggi serta memusnahkan beberapa lokasi utama ketenteraan dan ekonomi negara itu, namun gagal menjatuhkan negara republik Islam tersebut yang kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau itu.
Trump pada 8 April lalu mengumumkan gencatan senjata dengan Iran yang kemudiannya dilanjutkan, walaupun rundingan dengan Tehran dilaporkan masih menemui jalan buntu.
Rubio berkata AS telah 'mencapai objektif' perang tersebut.
“Mereka kini berdepan kemusnahan ekonomi yang sangat dahsyat,” katanya, sambil menambah bahawa Trump masih lebih memilih penyelesaian melalui rundingan dengan Iran.