Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anak Krakatau Kembali ‘Membesar’, Keluasan Daratan Bertambah 32.8 Hektar

Anak Krakatau Kembali ‘Membesar’
Kredit: TVRI News

Gunung Anak Krakatau kembali menunjukkan pertambahan saiz selepas mengalami runtuhan besar pada Disember 2018.

Memetik TVRI News, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) merekodkan keluasan daratan gunung berapi yang terletak di Selat Sunda itu kini mencecah 341.5 hektar.

Keluasan tersebut kini melebihi saiz Anak Krakatau sebelum berlaku letusan dan runtuhan di bahagian barat daya gunung berapi berkenaan pada 22 Disember 2018.

Ketua PVMBG, agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia (ESDM), Rita Susilawati berkata, perkembangan keluasan daratan itu dikenal pasti menerusi pemantauan imej satelit Sentinel.

Sebelum runtuh, keluasan Anak Krakatau direkodkan sekitar 300 hektar pada 19 Disember 2018, sebelum menyusut akibat keruntuhan bahagian barat daya.

Anak Krakatau Kembali ‘Membesar’

Kredit: AFP

“Keruntuhan bahagian barat daya menyebabkan keluasan daratan gunung berapi itu menyusut dengan ketara, sehingga berbaki 246.18 hektar pada 26 Disember 2018,” katanya.

Selepas itu, keluasan Anak Krakatau kembali meningkat secara beransur-ansur apabila bahan gunung berapi daripada aktiviti letusan terus terkumpul membentuk daratan baharu.

Berdasarkan imej satelit Sentinel pada 8 Ogos 2026, keluasan daratan Anak Krakatau direkodkan telah mencapai 312.3 hektar.

Pertambahan keluasan berlaku semula selepas fasa letusan pada 4 hingga 6 September 2026, apabila bahan letusan menambah kira-kira 32.8 hektar daratan.

Dengan pertambahan itu, jumlah keluasan daratan Anak Krakatau kini mencapai 341.5 hektar selepas peningkatan berlaku secara beransur-ansur.

Perkembangan Anak Krakatau itu selari dengan kajian bersama melibatkan BRIN, University of Birmingham, ITB, Penn State University, British Geological Survey, serta University of Oxford.

Kajian tersebut mengesahkan Anak Krakatau kini berada dalam fasa pembentukan semula selepas mengalami perubahan besar susulan keruntuhan pada Disember 2018.

Sumber:TVRI News
Intipati
  • PVMBG merekodkan keluasan daratan Anak Krakatau kini mencapai 341.5 hektar.
  • Saiz itu melebihi keluasan sebelum runtuhan besar pada Disember 2018.
  • Pertambahan berlaku apabila bahan letusan terkumpul dan membentuk daratan baharu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan