Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Ampun Tuanku, Mohon Berhenti Sekejap", Ubah Nasib Keluarga 13 Tahun Tanpa Bekalan Elektrik

Azzwin
bekalan elektrik
Kredit: @muhammadramadhan9602 via TikTok

"Ampun Tuanku, Mohon Berhenti Sekejap", Ubah Nasib Keluarga 13 Tahun Tanpa Bekalan Elektrik

Hari ini , bekalan elektrik merupakan salah satu keperluan untuk menjalankan rutin harian. Tidak terbayang bagaimana hidup di hari ini tanpa memiliki salah satu sumber tenaga ini.

Itulah nasib sebuah keluarga yang mencuri perhatian ramai termasuk Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila menerima khabar selepas hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik.

"Ampun Tuanku, Mohon Berhenti Sekejap"

Detik menyentuh hati itu berlaku apabila seorang lelaki bersama isteri dan anaknya bertindak menahan konvoi kenderaan baginda di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.

Tindakan itu berjaya menarik perhatian Al-Sultan Abdullah apabila baginda memperlahankan kenderaan dan berhenti bagi mendengar sendiri aduan yang ingin disampaikan keluarga itu.

13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik

Menerusi video yang dikongsikan oleh @MuhammadRamadhan96 di TikTok, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa keluarganya sudah hampir 13 tahun hidup tanpa kemudahan bekalan elektrik di rumah mereka.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut mereka hanya bergantung kepada tenaga solar dan bateri kereta untuk mendapatkan bekalan elektrik asas bagi kegunaan harian.

Dalam rakaman yang sama, lelaki itu turut menyerahkan surat permohonan bekalan elektrik terus kepada Sultan Pahang dengan harapan masalah yang dihadapi keluarganya dapat diselesaikan.

Kredit: @muhammadramadhan9602 via TikTok

Permohonan diluluskan pada hari sama

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap nasib keluarga berkenaan ternyata membuahkan hasil apabila permohonan bekalan elektrik mereka dilaporkan diluluskan pada hari yang sama.

Difahamkan, proses seterusnya hanya melibatkan pemasangan tiang dan meter elektrik di kediaman keluarga tersebut.

Kredit: @muhammadramadhan9602 via TikTok

Perkongsian video berkenaan turut mendapat perhatian ramai di media sosial dan secara tidak langsung membuka mata orang ramai supaya lebih menghargai nikmat serta kemudahan dalam kehidupan seharian.

Dalam masa yang sama, ramai netizen turut memuji keprihatinan baginda Sultan Pahang yang sanggup berhenti bagi mendengar sendiri masalah rakyat serta membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi keluarga tersebut.

"Sedihnya 13 tahun tak ada eletrik, kita tak ada sejam dua jam pun dah tak boleh tahan," komen seorang warga maya.

"Alhamdullilah, asbab sultan pahang lalu jalan tu. Bayangkan 13 tahun, bukan 13 bulan. Maksudnya anak-anak dekat sana tak pernah merasa hidup berlampu elektrik sepanjang membesar," komen seorang lagi warga maya.

"Betul-betul sultan yang berjiwa rakyat, semoga tuanku sihat selalu dan panjang umur," tulis seorang pengguna TikTok.