Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri sehingga jam 4 petang ini.
Hujan Lebat Di Beberapa Negeri
Amaran yang dikeluarkan melibatkan Kedah, termasuk Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling, Kulim, Bandar Baharu, Pokok Sena dan Padang Terap. Seluruh Pulau Pinang turut berada dalam amaran berkenaan.
Di Perak, kawasan terlibat ialah Kerian, Selama, Larut Matang, Manjung, Bagan Datuk, Perak Tengah, Hilir Perak dan Hulu Perak. Amaran turut meliputi Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pahang, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir ialah Bera, Bentong, Kuantan dan Cameron Highlands, manakala di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Seremban dan Jempol. Di Johor, amaran melibatkan Mersing dan Kota Tinggi.
Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Miri dan Limbang. Sementara itu, di Sabah, amaran meliputi kawasan Pedalaman, Sandakan, Tawau, Pantai Barat dan Kudat.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
