Aliff Daniel Adli mengucapkan dua kalimah syahadah dan melafazkan taubat dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.
“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ia boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikuti atau melampaui aturan Islam sebagai agama yang sempurna dan lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.
“Saya juga menyedari bahawa perbuatan saya telah menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan serta menyebabkan kecenderungan kepada ganggu gugat keamanan dan ketenteraman awam,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat.
Sehubungan itu, dia berjanji untuk tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, sebaliknya berusaha mendalami ilmu agama dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan yang benar.
“Dengan ini, saya sesungguhnya bertaubat kembali ke pangkal jalan, berusaha untuk belajar mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan ilmu yang benar.
“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.
Menerusi siaran langsung di Facebook Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Aliff menyatakan pengisytiharan tersebut dibuat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan tanpa sebarang tekanan atau paksaan.
Dalam masa yang sama, Alif Daniel menyeru mana-mana individu yang pernah terpengaruh dengan perbuatannya sebelum ini supaya menghentikan kepercayaan tersebut dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
Mengakhiri pengisytiharan tersebut, Alif Daniel melafazkan dua kalimah syahadah “La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah” sebagai tanda taubat kepada Allah SWT dan tekad untuk memperbaiki diri serta kembali mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.
Ibu dan Adik Juga Lafaz Taubat
Sementara itu, ibu dan adik perempuannya turut melafazkan dua kalimah syahadah sebagai tanda keinsafan dan tekad untuk kembali menghayati ajaran Islam serta memohon keampunan Allah SWT.
