Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AKPS Sita Biji Koko Dari Uganda Bernilai RM11.8 Juta Di Pelabuhan Pasir Gudang

AKPS Sita
Kredit: AKPS

JOHOR BAHRU, 5 Okt (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita biji koko bernilai RM11.8 juta yang cuba dibawa masuk ke negara ini menerusi sebuah kontena dari Uganda di Pelabuhan Pasir Gudang di sini pada 3 Okt lepas.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan sitaan biji koko seberat 637,000 kilogram itu adalah hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa pada 3.50 petang.

“Barangan ini didapati dibawa masuk dengan dokumen yang tidak lengkap dan mencurigakan, menyebabkan kesemua barangan dagangan ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

AKPS menegaskan sebarang perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat bercanggah di pintu masuk negara adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Menurut agensi itu, jika disabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

AKPS memandang serius kegiatan seumpama itu dan akan sentiasa menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Menurut agensi berkenaan langkah itu bagi menjamin keselamatan pengeluaran pertanian yang keluar dari dalam negara selain memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi.


Sumber:BERNAMA