Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AKPS Bakal Diberi Akses Bilik Kawalan 5,000 CCTV Di KLIA - Saifuddin

AKPS
Kredit: Parlimen Malaysia

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal mendapat akses bilik kawalan menempatkan lebih 5,000 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, AKPS akan diberikan autoriti bagi memperkukuh aspek keselamatan di pintu masuk negara itu.

Ia selepas hasil persetujuan dalam perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

AKPS Bakal Diberi Akses

Jelas Saifuddin, bilik kawalan berkenaan adalah di bawah pengurusan MAHB bagi tujuan pemantauan penumpang di lapangan terbang, namun tidak khusus kepada aspek keselamatan.

“Sebab itu sekarang, kerana AKPS agensi baharu bertanggungjawab mengenai kawalan sempadan, perbincangan sudah saya mulakan dengan MAHB supaya akses terhadap bilik kawalan, sumber maklumat daripada lebih 5,000 CCTV itu bukan saja MAHB yang mengawalnya tetapi juga AKPS turut diberikan autoriti.

“Jadi, AKPS akan melihat dari sudut pandang keselamatan. Ini sudah pun dipersetujui, cuma sekarang di peringkat pentadbiran untuk membolehkan ia beroperasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sejauh mana Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) boleh berfungsi untuk memberikan maklumat keselamatan dan risikan supaya langkah pencegahan boleh diambil lebih awal oleh pihak berkuasa.

Tambah Saifuddin, kemudahan CCTV membabitkan kawasan dikenal pasti sebagai titik buta di KLIA akan ditambah AKPS.

“Jadi, NICC terhad kepada proses melepasi kawalan pemeriksaan masuk dan keluar tapi yang lebih lengkap sebenarnya adalah di bawah MAHB,” katanya.

Intipati
  • AKPS bakal mendapat akses bilik kawalan lebih 5,000 CCTV di KLIA.
  • Saifuddin berkata persetujuan dicapai dengan MAHB, sementara pelaksanaan masih di peringkat pentadbiran.
  • AKPS akan menambah CCTV di kawasan KLIA yang dikenal pasti sebagai titik buta.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan