Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa pengundi di Johor memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Menurut beliau, kemenangan itu bukan sahaja penting untuk memperkukuh kedudukan BN, malah secara sinis disifatkan mampu merealisasikan hasrat pemimpin DAP, Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan.
Dr Akmal berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi.
“Nanti mesti geng ceplos akan jawab, kenapa saya tidak letak jawatan? Jadi saya nak jawab siap-siap.
“Untuk makluman, mengikut Undang-Undang Negeri Melaka, perletakan jawatan seorang Exco mestilah diperkenankan oleh TYT Negeri Melaka.
“Dan dua surat perletakan jawatan saya telah diberikan kepada TYT Negeri Melaka dan Ketua Menteri Melaka, tetapi hasrat saya tidak diperkenankan walaupun dua surat telah dihantar,” katanya.
Beliau berkata, penjelasan itu dibuat lebih awal bagi menjawab persoalan yang dijangka akan dibangkitkan pihak tertentu.
Dalam pada itu, Akmal berkata, sekiranya BN berjaya meraih kemenangan besar pada PRN Johor, maka Nga Kor Ming wajar menunaikan kenyataannya untuk melepaskan jawatan.
“Tapi yang pasti, rakyat Johor tolong tunaikan permintaan Nga Kor Ming ini dan juga impian ramai orang untuk melihat Nga Kor Ming letak jawatan menteri,” ujarnya.
Terdahulu, dalam satu temu bual eksklusif bersama media tempatan, Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilaporkan berkata beliau sanggup menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia dianggap sebagai “garis merah” parti tersebut.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal, termasuk melalui slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah”.