Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menyaksikan rakyat Malaysia semakin berminat meneroka destinasi tempatan, termasuk lokasi di luar kawasan bandar.
Menurut data Airbnb, carian penginapan domestik bagi tempoh sambutan ini meningkat hampir 20 peratus berbanding tahun lalu, manakala tempahan malam penginapan di destinasi bukan bandar turut meningkat hampir 25 peratus.
Antara destinasi yang semakin mendapat perhatian ialah Kuala Terengganu, Port Dickson dan Ulu Langat, dengan carian dari tetamu Malaysia masing-masing meningkat lebih 40 peratus bagi Kuala Terengganu dan Port Dickson, serta lebih 30 peratus bagi Ulu Langat.

Dalam kalangan pengguna yang pertama kali menggunakan Airbnb, Port Dickson, Kluang, Ulu Langat dan Gombak pula antara destinasi yang mencatat pertumbuhan tertinggi.

Hos Turut Kongsi Tip Tempatan
Selain menyediakan tempat penginapan, hos Airbnb turut membantu tetamu mengenali destinasi menerusi cadangan tempat makan, beli-belah dan lokasi menarik.
Lebih 2,000 hos Airbnb di Malaysia telah berkongsi cadangan menerusi ciri Airbnb Guidebook. Kategori paling popular ialah restoran dan tempat makan, diikuti lokasi membeli-belah, alam semula jadi serta kafe dan kedai bakeri.
Menurut Airbnb, hampir satu daripada lima hos aktif di Malaysia kini berstatus Superhost, menunjukkan semakin ramai rakyat tempatan terlibat dalam ekosistem pelancongan.
Pertumbuhan ini turut selari dengan peningkatan perbelanjaan pelancongan domestik. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM34 bilion pada suku pertama 2026, meningkat 15.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Airbnb bagi India dan Asia Tenggara, Amanpreet Bajaj, berkata peningkatan minat terhadap destinasi luar bandar memberi peluang kepada lebih banyak komuniti tempatan menikmati manfaat daripada aktiviti pelancongan.
Bagi seorang hos Airbnb di Langkawi, Lis, menjadi hos bukan sahaja memberinya sumber pendapatan tambahan, malah peluang memperkenalkan tempat makan, aktiviti dan lokasi kegemarannya kepada pengunjung.

Dengan semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di dalam negara, destinasi yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kini berpeluang menjadi pilihan baharu untuk diterokai.
