Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Air Kolam Bertukar Merah Disangka Bawa Berkat Hingga Ada Yang Sanggup Berendam

Air Kolam Bertukar Merah
Kredit: Detiknews

Tular di media sosial air di sebuah kolam tiba-tiba warna kepada merah di Gunung Sindur, Bogor, Indonesia, sekali gus menarik perhatian penduduk untuk datang dan melihat fenomena itu.

Memetik detiktravel, orang ramai berkumpul di sekitar kolam berkenaan untuk melihat air tersebut bertukar warna.

Ada juga yang mengambil kesempatan untuk membasuh muka menggunakan air kolam tersebut, manakala ada yang turut mengisi tong air mineral untuk dibawa pulang.

Malah, dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, kelihatan ada juga yang duduk dan berendam di dalam kolam tersebut sambil kedengaran seseorang berdoa memohon keberkatan.

Khabar mengenai kejadian itu yang tersebar dengan pantas di media sosial mendorong pihak polis dari Balai Polis Gunung Sindur untuk segera ke lokasi bagi menyiasat kejadian tersebut.

Air Kolam Bertukar Merah Disangka Bawa Berkat

Diketuai Ketua Balai Polis Gunung Sindur, anggota polis bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kolam yang dilaporkan berubah menjadi merah.

Namun, ketika pasukan polis tiba di lokasi pada sebelah petang, air kolam yang kelihatan merah dalam rakaman video tersebut sudah kembali kepada keadaan asal.

Perubahan warna air kolam yang berlaku seketika itu turut mendapat perhatian Ketua Kampung Cibadung, Badri.

Badri mengesahkan penduduk sememangnya melihat air kolam berkenaan berubah warna secara tiba-tiba, namun beliau sendiri tidak sempat melihatnya kerana air sudah kembali seperti biasa ketika tiba di lokasi.

“Saya sendiri tidak nampak, tetapi penduduk memang ada beritahu airnya sempat bertukar merah.

“Saya tidak melihat ketika airnya merah kerana apabila saya sampai, keadaannya sudah kembali seperti biasa. Katanya, kejadian itu hanya berlaku sekejap,” katanya ketika dihubungi.

Menyedari kejadian itu boleh mencetuskan pelbagai andaian berunsur mistik dalam kalangan penduduk, Badri memilih untuk mendapatkan penjelasan berdasarkan kaedah saintifik.

Pihak kampung mengambil sampel air dan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (DLH) bagi menjalankan ujian makmal untuk mengenal pasti kandungan dalam air kolam berkenaan.

Memetik Detiknews, DLH masih dalam proses menjalankan pemeriksaan di makmal setelah menerika sampel air dari kolam tersebut.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati perubahan warna air kolam itu dipercayai berpunca daripada pewarna kain atau bahan lain yang menyebabkan air berubah menjadi merah buat seketika.

“Ini andaian awal sementara menunggu keputusan pemeriksaan makmal. Buat masa ini, kami mengesyaki ia berpunca daripada pewarna kain atau bahan lain yang menyebabkan air berubah warna untuk seketika,” kata Ketua DLH Bogor, Teuku Bayu.

Tambahnya, perubahan yang berlaku kurang dari sejam itu seolah-olah fenomena yang berlaku akibat campur tangan manusia.

Ujarnya, keputusan pemeriksaan makmal diperlukan bagi menentukan sama ada air kolam yang tular itu selamat untuk diminum.

Menurutnya, walaupun terdapat bahan pewarna dalam air kolam berkenaan, kandungannya masih berada pada paras yang selamat atau di bawah had yang ditetapkan.

“Secara umum, memang tidak elok untuk diminum. Namun, ada had tertentu yang ditetapkan.

“Jika kandungannya berada di bawah had tersebut, ia tidak menimbulkan masalah sekiranya diminum,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk tidak mengaitkan setiap kejadian pelik dengan perkara mistik sebelum puncanya diketahui.

“Bagi kejadian seperti ini, jangan terus menganggapnya sebagai keajaiban atau sesuatu yang berkaitan dengan perkara ghaib.

“Sebaiknya, orang ramai segera menghubungi pihak berkaitan supaya keadaan dan kandungan air itu dapat dikenal pasti.

“Jangan terus menganggap air tersebut selamat untuk diminum atau menganggapnya sebagai sesuatu yang istimewa sehingga dipuja.

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku kemudian,” ujarnya.

Intipati
  • Air kolam di Gunung Sindur, Bogor dilaporkan bertukar merah dan menarik perhatian penduduk.
  • Sebahagian penduduk membasuh muka, mengisi air dan berendam sambil dikaitkan dengan keberkatan.
  • DLH Bogor masih menguji sampel, sementara punca awal dipercayai daripada pewarna kain.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan