Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Agong Gesa Wisma Putra Ambil Tindakan Sewajarnya Bantu Rakyat Malaysia Terjejas Banjir Di Nepal

AGONG
Kredit: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Wisma Putra supaya mengambil segala tindakan sewajarnya susulan kejadian banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal yang turut melibatkan rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan supaya maklumat terkini mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terjejas disalurkan kepada ahli keluarga masing-masing.

Menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Baginda bertitah bahawa perkembangan tragedi berkenaan sentiasa mendapat perhatian sejak ia mula dilaporkan semalam.

“Saya mengikuti perkembangan tragedi ini sejak ia dilaporkan berlaku semalam apabila melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana berkenaan.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menitipkan doa agar semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi tersebut.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa semalam.

Menurut kementerian itu, angka berkenaan diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain berkaitan.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat banjir yang melanda perkampungan serta laluan pendakian berhampiran sempadan Nepal-China itu meningkat kepada 162 orang, manakala ratusan lagi dilaporkan masih hilang.

Intipati
  • Agong menitahkan Wisma Putra mengambil tindakan sewajarnya susulan banjir besar di Rasuwa, Nepal.
  • Baginda mahu maklumat terkini keselamatan rakyat Malaysia terjejas disalurkan kepada keluarga masing-masing.
  • Wisma Putra memaklumkan 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi selepas bencana itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan