Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Agensi Perisikan Amerika Dakwa Presiden Korea Utara Kritikal Selepas Jalani Pembedahan Jantung

Kredit: Google

Agensi perisikan Amerika Syarikat mendakwa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berada dalam keadaan tenat selepas menjalani pembedahan, lapor CNN.

Dalam laporan bertarikh 21 April itu, CNN mendakwa menerima maklumat dari sumber perisikan AS yang memantau kesihatan Jong Un secara dekat.

Jong Un dilaporkan tidak menghadiri upacara sambutan hari lahir datuknya pada 15 April lalu, menimbulkan spekulasi terhadap kesihatan beliau. Beliau dilihat kali terakhir melalui media pada 11 April ketika menghadiri mesyuarat kerajaan.

Isu kesihatan Jong Un turut disahkan seorang pegawai AS yang lain, namun mendakwa sukar untuk mengetahui tahap sebenar kesihatan pemimpin itu.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Robert O’Brien berkata, AS sedang memerhati secara rapat laporan-laporan mengenai kesihatan Jong Un.

“Kami sedang memantau laporan-laporan ini secara dekat. Seperti anda tahu, Korea Utara merupakan masyarakat yang begitu tertutup,” katanya.

Sementara itu menurut sebuah akhbar berpusat di Korea Selatan, Daily NK, Jong Un dilaporkan menjalani rawatan kardiovaskular pada 12 April lalu.

Keadaan kesihatannya dikaitkan dengan tabiat merokok, obesiti dan terlebih kerja, lapor portal itu seperti dipetik CNN.

Beliau kini dilaporkan diberi rawatan di sebuah vila di daerah Hyangsan bawah pemantauan beberapa pasukan perubatan.

“Selepas memantau keadaan Jong Un yang semakin baik, sebahagian pasukan perubatan yang merawatnya telah pulang ke Pyongyang pada 19 April dan hanya sebahagian lain yang tinggal untuk memantau proses pemulihannya,” lapor CNN memetik berita Daily NK.

Walaubagaimanapun, kerajaan Korea Selatan termasuk Kementerian Penyatuan dan Kementerian Pertahanan negara itu mengambil langkah tidak memberi sebarang pengesahan terhadap isu tersebut.

Menurut BBC, Blue House, pejabat Presiden Korea Selatan, berkata tiada tanda-tanda pemimpin berusia 36 tahun itu sedang sakit tenat. Hal ini turut dipersetujui perisikan China yang menafikan khabar berkenaan.

Malah sebelum ini, keadaan kesihatan Jong Un pernah beberapa kali dikhabarkan menurun, namun ternyata tidak benar.

Walaubagaimanapun, tiada kenyataan yang mengesah atau menafikan sama ada Jong Un ada menjalani pembedahan jantung dikeluarkan, tambah BBC.

Dalam laporan SCMP News, perkara berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat yang mendoakan kesejahterannya.

Sumber: CNN, BBC