Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

59.2 Peratus Pekerja Hidap Obesiti, Isyarat Kritikal Tahap Modal Insan Negara

Azzwin
Obesiti

59.2 Peratus Pekerja Hidap Obesiti, Isyarat Kritikal Tahap Modal Insan Negara

PUTRAJAYA – Analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendedahkan realiti membimbangkan mengenai tahap kesihatan golongan pekerja di Malaysia.

Berdasarkan dapatan HSP, sebanyak 59.2 peratus pekerja yang disaring didapati mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, satu angka yang cukup tinggi dan tidak boleh dipandang ringan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, dapatan itu turut menunjukkan kira-kira 19 peratus daripada mereka menghidap diabetes manakala 17.45 peratus pekerja mempunyai tekanan darah tinggi.

Bahkan, tambah beliau, kira-kira 59.24 peratus yang menjalani saringan didapati mempunyai masalah kolesterol tinggi dengan profil risiko ini berada dalam kalangan pekerja berusia 40 hingga 59 tahun.

”Kita perlu sedar bahawa memasuki fasa usia sebelum persaraan ialah tempoh produktif, tetapi pada masa yang sama, ia merupakan tempoh kritikal bagi risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

”Malah, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendedahkan yang hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia ketika ini dapat mencapai tahap penuaan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan program PERKESO Run and Ride 2026 di Dataran Wawasan, Putrajaya, hari ini, sempena Hari Pekerja 2026.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA yang menjalankan tugas Ketua Setiausaha KESUMA, Dr. Hj Mohd Shaharin Umar; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato' Rahimi Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Khairul Firdaus turut menyuarakan kebimbangan mengenai kes penyakit kanser yang kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini semakin kerap berlaku dalam kalangan usia muda.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kesedaran mengenai bahaya NCD tidak dipandang ringan, dengan menjadikan momentum kehadiran pada program anjuran PERKESO ini sebagai langkah intervensi untuk membudayakan hidup sihat dan pemakanan seimbang.

“Saya bangga dengan momentum positif yang dipamerkan melalui kadar penyertaan hari ini apabila kelompok peserta berusia 40 hingga 50-an mewakili hampir 30 peratus daripada keseluruhan peserta PERKESO Run and Ride 2026.

”Ini perkembangan yang amat baik dan saya harap semua pekerja tanpa mengira peringkat umur akan terus membudayakan corak hidup sihat.

“Hal ini kerana aspek kesihatan pekerja adalah penentu produktiviti kita, malah secara tidak langsung mempengaruhi kelangsungan sosioekonomi,” ujarnya.

Penganjuran PERKESO Run and Ride 2026 yang memasuki edisi kesembilan tahun ini, menerima penyertaan terbesar dengan 12,000 peserta menyertai program ini sekali gus memanifestasi sokongan KESUMA dalam menggerakkan perubahan gaya hidup secara kolektif.

Membawakan sedikit kelainan, edisi kali ini memperluaskan jarak kilometer (km) kategori larian kepada 3km, 6km, dan 12km bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif, selain mengekalkan acara kayuhan santai sejauh 35km.