Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik kemasukan 550,000 liter bahan api ke Gaza, namun jumlah itu masih jauh daripada keperluan minimum untuk memastikan perkhidmatan asas terus beroperasi, lapor Xinhua.
550,000 Liter Bahan Api Masih Tidak Mencukupi
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata bahan api yang dibenarkan masuk pada Selasa dapat membantu mengekalkan operasi perkhidmatan asas, tetapi jumlah berkenaan masih tidak mencukupi.
OCHA berkata peruntukan AS$2 juta yang diluluskan Khamis lalu daripada dana kemanusiaan yang diuruskan OCHA bagi wilayah Palestin yang diduduki, bersama sumbangan terbaharu daripada Qatar, merupakan langkah sementara untuk membiayai bekalan bahan api kepada kemudahan perubatan di Gaza.
“Pembiayaan tambahan amat diperlukan untuk memastikan bekalan bahan api berterusan dan mengelakkan kemerosotan berbahaya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, bekalan air, operasi menyelamat, pembersihan runtuhan serta perkhidmatan kritikal lain,” menurut OCHA.
Menurut agensi itu, rakan kemanusiaannya melaporkan penggunaan generator sandaran secara meluas ketika ini tidak dapat diteruskan untuk tempoh panjang.
OCHA berkata kelulusan bagi kemasukan minyak enjin, alat ganti, panel solar serta bahan api komersial, selain penyambungan semula operasi Loji Janakuasa Gaza, amat penting bagi memastikan perkhidmatan berkenaan dapat diteruskan.
Sementara itu, menjelang musim hujan, rakan OCHA yang mengendalikan pengurusan tapak melaporkan 989 daripada 1,764 lokasi penempatan penduduk yang dipindahkan dan dinilai di seluruh Gaza berada di kawasan berisiko sederhana hingga tinggi untuk dilanda banjir.
Lokasi berkenaan menempatkan kira-kira satu juta orang.
“Ramai keluarga yang dipindahkan masih tinggal di tempat perlindungan yang semakin merosot sejak musim sejuk lalu, dengan perlindungan yang terhad, sistem saliran tidak mencukupi serta kekurangan tilam, selimut dan barangan keperluan isi rumah lain,” menurut OCHA.
Rakan kemanusiaan agensi itu memberi amaran kira-kira 400,000 orang mungkin perlu berpindah apabila hujan lebat bermula.
Sehingga itu, rakan OCHA sedang menambah baik sistem saliran, mengukuhkan tempat perlindungan, menghantar bahan dan peralatan penting serta membantu penduduk yang memilih untuk berpindah.
Bagaimanapun, OCHA berkata sumber yang tersedia adalah terhad, manakala kawasan tanah yang masih boleh digunakan untuk penempatan juga semakin sedikit.

