Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal meraikan sambutan Jubli Emas dengan menghimpunkan kira-kira 300 alumni yang pernah mengikuti pengajian dalam bidang media dan komunikasi sejak 1976.
Sambutan yang menandakan lima dekad perjalanan pengajian media di UKM itu turut menyaksikan pelancaran Tabung Jubli Emas MENTION UKM yang menyasarkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada warga alumni.

Selain itu, acara berkenaan akan diserikan dengan pelancaran buku khas sempena sambutan jubli emas serta pertemuan alumni daripada pelbagai generasi yang menyumbang kepada perkembangan bidang media dan komunikasi di Malaysia.
Menurut Pro Naib Canselor, Strategi dan Kelestarian UKM, Profesor Dato’ Dr. Roslee Rajikan, pelancaran tabung berkenaan merupakan antara inisiatif penting bagi menggalakkan sokongan alumni dan rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan, kebajikan pelajar serta kecemerlangan MENTION UKM.
Beliau berkata, tabung itu turut diharapkan menjadi wadah yang menghubungkan kejayaan alumni dengan peluang pembangunan generasi pelajar akan datang.
“Selain itu, pelancaran buku khas Jubli Emas akan mendokumentasikan perjalanan, pencapaian dan perkembangan pengajian media di UKM sepanjang 50 tahun.
“Penerbitan ini juga diharap menjadi sumber rujukan yang merakamkan sejarah institusi, sumbangan tokoh akademik, pengalaman alumni serta perubahan landskap media dan komunikasi seiring dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan jubli emas itu bukan sekadar meraikan usia penubuhan, malah menjadi penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang membina reputasi pengajian media UKM.
Menurutnya, sambutan itu turut membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, alumni dan industri media.
Perhimpunan kira-kira 300 alumni daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan generasi dijangka menjadi antara tarikan utama sambutan berkenaan.
Pertemuan itu juga membuka peluang kepada perkongsian pengalaman, pembinaan jaringan profesional serta penerokaan kerjasama baharu bagi menghadapi cabaran industri media yang semakin dinamik.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan perubahan corak penggunaan media, bidang media dan komunikasi terus memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi profesional, malah memahami kepentingan etika, kredibiliti, tanggungjawab sosial dan integriti dalam penyampaian maklumat.
Sambutan Jubli Emas Pengajian Media UKM diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kedudukan MENTION UKM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam bidang media dan komunikasi, sekali gus memastikan legasi lima dekad itu terus berkembang untuk manfaat generasi akan datang.

