Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Jenis Sos Yang Perlu Diberi Perhatian

SOS
Mayonis. Gambar: LOGI

Sos dan perencah memang antara bahan wajib ada di dapur.

Mayonis, sos tomato, sos cili dan pelbagai jenis sos lain mampu menaikkan rasa makanan, daripada sandwic dan salad hinggalah hidangan daging serta sayur panggang.

Namun, pernah tak buka sebotol sos, masukkan ke dalam peti sejuk dan kemudian terlupa tentangnya?

Tanpa disedari, sos yang disimpan terlalu lama selepas dibuka boleh berubah rasa, tekstur malah berisiko rosak akibat terdedah kepada udara, kelembapan dan pencemaran daripada sudu atau peralatan yang digunakan.

Jadi, sebelum terus menambah sos ke dalam makanan, cuba semak lima jenis perencah ini.

1. Mayonis

Mayonis dan sos berasaskan mayonis seperti sos tartar, remoulade serta aioli biasanya mengandungi campuran telur dan minyak.

Gabungan bahan berkenaan menjadikannya antara perencah yang perlu diberi perhatian selepas dibuka, terutama apabila terdedah kepada udara dan kelembapan.

Pastikan bekas ditutup rapat dan disimpan dalam peti sejuk selepas digunakan.

Sos Salad Berkrim. Gambar: Kuali

2. Sos Salad Berkrim

Sos salad yang mengandungi produk tenusu, keju atau telur juga lebih mudah rosak, terutama selepas dibuka.

Jangan biarkan botol atau bekas terbuka terlalu lama dan pastikan ia ditutup rapat sebelum disimpan semula dalam peti sejuk.

3. Horseradish

Horseradish mungkin tidak sekerap digunakan seperti sos tomato atau mayonis, tetapi perencah ini juga perlu diberi perhatian.

Sebatian daripada akar segarnya boleh kehilangan kekuatan dengan cepat, manakala pendedahan kepada udara boleh menyebabkan proses penapaian atau pertumbuhan kulat.

4. Sos Barbeku Dan Sos Tomato

Kandungan gula yang tinggi dalam sos barbeku dan sos tomato membantu melambatkan proses kerosakan.

Namun, ia bukan bermakna sos berkenaan boleh disimpan selama-lamanya.

Selepas tempoh tertentu, pendedahan kepada udara dan pencemaran boleh menyebabkan proses penapaian atau pertumbuhan kulat. Jadi, periksa keadaan sos sebelum menggunakannya.

5. Jeruk

Jeruk biasanya diawet menggunakan air garam, tetapi ia tetap boleh mengalami kerosakan selepas terdedah kepada udara atau pencemaran.

Penggunaan tangan atau peralatan yang tidak bersih untuk mengambil jeruk dari dalam balang juga boleh mempercepatkan proses tersebut.

Fahami Tarikh Pada Label

Selain keadaan fizikal makanan, tarikh pada pembungkusan juga boleh membantu menentukan tempoh terbaik untuk menikmati sesuatu produk.

Sell-by merujuk kepada tempoh sesuatu produk sesuai berada di rak jualan, manakala best-by menunjukkan tempoh produk berada pada tahap terbaik dari segi rasa dan kualiti.

Sementara itu, use-by merupakan tarikh terakhir yang disyorkan untuk penggunaan ketika produk masih berada pada tahap kualiti yang disasarkan.

Namun, jangan hanya bergantung kepada tarikh pada label. Periksa juga keadaan makanan sebelum digunakan.

Jika terdapat perubahan bau, warna atau tekstur, elakkan menggunakannya.

Cara Pastikan Sos Tahan Lebih Lama

Selepas membuka sos atau perencah, beberapa langkah mudah boleh diamalkan untuk membantu mengekalkan kesegarannya.

Simpan dalam peti sejuk selepas dibuka dan pastikan penutup ditutup rapat bagi mengurangkan pendedahan kepada udara.

Gunakan peralatan yang bersih setiap kali mengambil sos dan elakkan mencelup semula sudu atau peralatan yang sudah digunakan.

Selain itu, elakkan menyimpan sos di pintu peti sejuk kerana perubahan suhu yang kerap boleh memendekkan jangka hayatnya.

Jika jarang menggunakan sesuatu jenis sos, pilih bekas bersaiz kecil supaya tidak tersimpan terlalu lama dan akhirnya terbuang begitu sahaja.

Pendek kata, jangan tunggu sos berubah bau atau berkulat baru hendak memeriksa keadaannya.

Sedikit perhatian ketika menyimpan boleh membantu mengurangkan pembaziran dan memastikan perencah yang dinikmati lebih selamat.

Intipati
  • Mayonis, sos salad berkrim dan horseradish lebih mudah rosak selepas bekas dibuka.
  • Sos barbeku, sos tomato dan jeruk masih boleh rosak walaupun diawet atau bergula.
  • Sos perlu disimpan sejuk, ditutup rapat dan diambil menggunakan peralatan bersih.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan