Bront Palarae Dinobatkan Pelakon Pembantu Terbaik Di Anugerah Thailand
Aktor popular, Bront Palarae terus mengukir nama dalam dunia seni apabila merangkul trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diumumkan sendiri oleh Bront menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya pada Sabtu.
https://www.instagram.com/p/DJeMwL2zrDX/
Tewaskan calon tempatan Thailand
Anugerah tersebut diperoleh hasil lakonannya menerusi filem seram Thailand, The Cursed Land arahan Panu Aree.
Dalam filem tersebut, Bront membawa watak bernama Heem dan berjaya mengetepikan empat calon popular tempatan lain. Ini termasuklah Benjamin Joseph Varney, Arak Amornsupasiri, Aelm Bhumibhat Thavornsiri dan Sanya Kunakorn.
“Alhamdulillah! Berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh. Dan kini, pengiktirafan ini sangat gila,” tulisnya.
Dalam pada itu, Bront tidak ketinggalan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan produksi filem The Cursed Land. Ini termasuklah kru dan para pelakon, atas kerja keras mereka sepanjang pembikinan filem itu.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan The Cursed Land dari lubuk hati saya. Kerja keras anda menjadikan ini sangat bermakna,” coretnya lagi.
Harapan Bront buat industri filem Thailand
Selain itu, Bront turut menyuarakan harapan agar industri perfileman Thailand akan lebih terbuka dalam mengangkat cerita tentang masyarakat Melayu khususnya di wilayah Selatan negara itu.
“Saya berharap suatu hari nanti pawagam Thailand akan menceritakan lebih banyak cerita tentang suara-suara kecil dan kekayaan sejarah masyarakat Melayu di selatan. Kisah yang patut didengari dan diraikan,” tambah pelakon yang pernah menggondol trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015) itu.
Untuk info, filem The Cursed Land mula ditayangkan pada 11 Julai 2024 dan sejak itu telah melakar kejayaan tersendiri di pelbagai festival filem antarabangsa.
Antara festival yang telah menayangkannya termasuklah Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) di Belanda dan Festival Filem Antarabangsa Ho Chi Minh City di Vietnam.
Selain itu, Festival Filem Asia di Itali, Festival Filem Hebat Antarabangsa Bucheon (BiFan) di Korea Selatan serta Festival Filem Asia New York (NYAFF) di Amerika Syarikat.
BACA: Anak Gajah Jantan Mati Dilanggar Lori Kontena Di Gerik
BACA: Pemilihan PKR: Rafizi Sedia Letak Jawatan Dalam Kabinet Jika Kalah
BACA: Gudang Simpanan Cat Terbakar Punca Asap Hitam Penuhi Ruang Udara
Sumber: Astro Gempak